Wednesday, August 3, 2016

Catatan Jaulah Tarbawi '16

Bismillah.


"Penghijrahan spiritual harus disertai dengan penghijrahan jasad."
Memetik kalam indah sang imam Al-Ghazali.

Minggu lepas, saya berpeluang mengadakan jaulah tarbawi berseorangan. Satu perancangan yang sudah difikirkan dua bulan yang lalu. Alhamdulillah, niat untuk menziarahi beberapa orang sahabat di bumi Selangor dan Kuala Lumpur akhirnya termakbul jua.

Jaulah kali ini agak berlainan daripada yang biasa. Kebanyakkan jaulah dilakukan secara berkumpulan, dan yes, it should be! Tapi oleh kerana kekangan masa dan sahabat yang sudi bersama, akhirnya saya nekad untuk teruskan walau bersendirian. And yes, I made it! Alhamdulillah.

Oleh kerana aktiviti kali ini dilakukan sendirian, maka perancangan juga diatur keseorangan. Mudah dan lebih tersusun. Tapi untuk membuat temu janji dengan sahabat untuk melawat rumah dan bertemu dengan keluarga tidak semudah yang difikirkan. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja mereka.

Well, kita hanya teruskan apa yang kita mampu lakukan. InsyaAllah.


Melalui jaulah kali ini, saya pecahkan faedah yang saya peroleh kepada berikut :

Pertama,
Nilai ukhuwwah persahabatan. Target untuk menyambung silaturrahim tertumpu pada sahabat yang sudah tidak ketemu lebih dari satu tahun ke atas. Dengan target ini, saya dapat bertemu semula dengan sahabat lama seperti akh Shukri Salleh dan akh Mun'im yang sekarang menjadi ustaz yang penuh integriti di sekolah Al-Amin Gombak. Juga akh Saddam yang sudah bekerja menjadi pemandu teksi yang jujur. Akh Farhan pula baru saja menginjak kaki ke alam rumah tangga.

Saya juga berkesempatan bersama akh Syazwan Saadun, akh Yusuf, dan akh Ali Aminuddin pada hari pertama ketibaan saya di bumi UIA Gombak. Mereka begitu baik hati untuk menyediakan tempat untuk saya berehat dan sudi untuk memimjamkan saya motor untuk tujuan jaulah ini.

Dalam jaulah ini juga saya sempat berkenalan dengan sahabat baru yang mempunyai latar belakang yang pelbagai. Terima kasih kepada akh Muadz Roslan, akh Mus'ab, akh Uwais, akh Ammar yang sedang menuntut di UIA PJ. Pertemuan dengan mereka semua terasa peningkatan iman dalam jiwa.

Disamping itu, dalam elemen ini juga, saya berkesempatan untuk memenuhi hak seorang akh yang sedang ditimpa musibah kerana ayahnya dirawat di Intitut Jantung Negara (IJN), akh Aiman Zailan. Menziarahi saudara yang sedang dilanda ujian akan mampu melahirkan perasaan ukhuwwah dan mahabbah yang lebih utuh.

Kedua,
nilai ukhuwwah kekeluargaan. Dalam jaulah ini juga saya mengambil kesempatan untuk bermalam di rumah abang sulung untuk membina hubungan kekeluargaan. Dalam masa yang lain, saya sempat menziarahi keluarga akh Arif dan Ammar di Putrajaya. Dengan menemui ibunya serta ahli keluarganya, ia akan membantu proses tautan jiwa antara kita semua. InsyaAllah.


Ketiga,
nilai spiritual juga cuba saya perhatikan. Setiap waktu solat saya akan berusaha untuk melakukan secara berjemaah, samada di masjid atau tempat saya bertemu dengan sahabat. Setiap pagi juga saya akan menghabiskan bacaan Matsurat dan merasai aura setiap lafaz doanya. Bacaan Al-Qur'an juga diteruskan walau tidak banyak seperti kebiasaan.

Saya juga sempat beriktikaf di beberapa buah masjid. Antaranya masjid SHAS di UIA Gombak, masjid Al-Hasanah di Bandar Baru Bangi, masjid Putra di Putrajaya. Masjid-masjid ini begitu mengamit suasana ruhi bagi hadirin. Alhamdulillah.

Keempat,
diskusi dan perbincangan dunia politik juga tidak dilepaskan. Alhamdulillah, dengan menziarahi abang sulung, saya sempat mendengar banyak input berguna tentang politik semasa di negara ini, terutama isu PAS-AMANAH. Saya juga sempat berbalas-balas WhatsApp dengan kawan lama berkenaan tajuk yang sama.

Tidak cukup itu, saya berpeluang untuk bersama-sama dengan sahabat dalam Jamuan Raya Amanah Titiwangsa. Pertemuan langsung dengan Presiden Amanah, Mat Sabu, tak disangka langsung oleh saya. Alhamdulillah, sempat mendengar pidato Mat Sabu berkaitan politik semasa. Sudah tentu dia banyak berbicara tentang 1MDB dan governen kleptoski (pimpinan perompak).

Kelima,
ziarah UIA Gombak mampu membangkit memori silam. Hampir separuh hari saya berada di universiti lama saya ini. Menziarahi masjidnya, bangunan kuliah IRK, perpustakaan, gerai The Grill dan Kafe Ali mampu menghangatkan suasana jaulah kali ini. Mengenang masa lampau sebahagian motivasi untuk diri kita bagi meneruskan kehidupan akan datang.

Keenam,
dalam jaulah ringkas ini juga, saya berpeluang untuk bersama adik-adik dari Ikram Siswa UIA Kuantan (ISUK) bagi membincangkan gerak-kerja dakwah dan tarbiyyah di masa mendatang. Seronok bersama mereka dalam proses merangka plan dakwah bagi melestarikan sunnah Rasulullah di bumi Malaysia ini. InsyaAllah.

Selain itu, saya sempat bersama ustaz Nazrul dalam diskusi perkembangan study circle di bumi UIA Gombak. Alhamdulillah, saya ditawarkan untuk memberi taklimat dan sedikit perkongsian teknik membawa halaqah bagi adik-adik fasi. Ini satu peluang dakwah bagi saya.

Dan untuk ketujuh,
pada awalnya saya merancang untuk meneroka tempat baru, tapi sepertinya saya tidak berjaya melainkan berkenalan dengan rumah akh Arif. Banyak rumah atau kawasan yang saya hajati untuk terokai tidak berjaya disebabkan faktor kesibukan dan cuaca yang tidak menentu.

-----------------------------------------


Jaulah & Tarbiyyah

Dunia tarbiyyah yang saya yakini tak pernah lekang dari aktiviti jaulah atau rehlah. Dua aktiviti ini sentiasa dilakukan oleh para ikhwan bagi membantu proses pentarbiyyahan. Tanpa kedua-dua aktiviti ini, pasti akan ada lopong dalam dunia dakwah dan tarbiyyah.

Namun, melakukan jaulah tanpa memahami dengan jelas ia punya misi dan wawasan hanya mengakibatkan seseorang itu membazir tenaga dan masa, even wang. Oleh itu, bagi memaksimumkan manfaat daripada aktiviti jaulah ini, hendaklah kita bertemu dengan orang yang arif bagi mendapatkan pencerahan darinya.

Jikalau kita serius dalam aktiviti jaulah, kita akan bakal beroleh hasil yang banyak, seperti :

1. Ziarah tokoh dakwah dan masyarakat,
2. Ziarah keluarga sahabat atau ikhwah,
3. Kenali tempat-tempat yang masyhur di kawasan yang dilalui,
4. Merasai makanan tempatan yang susah didapati,
5. Melatih semangat ukhuwwah dan toleransi,
6. Mentadabbur alam,
7. Belajar konsep pengurusan masa secara praktikal,
dan banyak lagi.

Jika jaulah tidak difahami dan tidak dirancang dengan baik, maka jadilah ia seperti lawatan kosong yang tidak membangkitkan keimanan kepada Allah, bahkan boleh jatuh ke perkara yang lagha.

Sedangkan konsep pengembaraan ini adalah satu daripada tuntutan Ilahi, yang membawa manusia mengenali kebesaran Tuham dan kekerdilan diri.

Akhir kalam, marilah kita cuba mencari masa dan sahabat sefikrah, dan lakukan pengembaraan di bumi Allah yang luas ini. Mulakan dengan kawasan dekat dahulu. Kemudian mulalah menebar ke negara yang lebih jauh.

Salam jaulah...!


Wallahu a'lam.

No comments: