Thursday, June 16, 2016

Kira-kira Ramadan

Stop! And Check Yourself!


"Cukup semua pak?"

Pakcik itu membulat jari dengan menyambung hujung ibu jari dengan telunjuk, sambil tersenyum manis.

Budak itu girang. Dia terus mengutip 10 biji telur di atas meja kaunter dan meletakkannya dalam plastik putih sebelum berlalu pergi. Tak sabar ia ingin bertemu ibu dan berbangga akan kejayaannya menunaikan hasrat si ibu.

Dalam perjalanan pulang, budak kecil itu ternampak seekor burung biru sedang berehat-rehat di atas dahan pokok berhampiran. Ia berhenti sejenak. Mendongak ke atas.

"Woi burung cantik!" Teriak dia sambil mengangkat tangan kanan melambai laju. Tanpa disedari, dua biji telur terkeluar dari plastiknya dan jatuh ke tanah. Burung itu pula ketakutan dengan 'ngauman' suara budak itu lantas terbang melangit tinggi.

"Aduh... terbang pulak..." Ia mendengus. "Tak apa la. Nanti ada rezeki, ketemu lagi kita." Budak itu cuba hiburkan diri. Dia terus menyambung perjalanan ke rumah.

Sampai ke padang bola, tiba-tiba dia terdengar satu pekikak dari arah kanannya.

"Budak, hati-hati!"

Ia terus berpaling laju, dan tangan kanannya yang memegang plastik telur itu menutup muka.

Dushh!

Sebiji bola tepat terkena plastik yang menjadi perisai mukanya.

"Nasib baik aku pantas bertindak." Hati budak itu bermonolog.

"Engkau ok?" Seorang abang yang sedikit dewasa datang menghampirinya.

"Ok. baik-baik saja abang." Ia tersenyum manis.

"Apa yang ada dalam plastik tu? Ada rosak apa-apa tak?" Prihatin si abang bola tu.

"Ah, tak pe bang. Semua baik-baik. Abang pergi la, kawan abang dah memanggil tu." Balas budak kecil.

Abang itu terus merangkul bola dan berpaling pergi sambil mengangkat ibu jari kiri kepada budak itu.

"Nasib baik takde cedera." Budak itu terus berjalan pergi. Tidak sabar untuk bertemu dengan ibu.

Sampai sahaja di mula pintu rumah kayu milik ibunya, ia terus mengetuk dengan kuat. "Ibu, Aiman dah balik! Aiman bawa telur yang ibu pesan ni!" Teriak budak itu. Girang tak terkata. Sebelum ini, dia tak diberi kerja. Aiman budak cuai, selalu sahaja ada cacat cela dalam tugasan yang ia lakukan. Tapi kali ini, dia diberi peluang lagi. Dia harus membeli dan membawa balik tepat 10 biji telur dari kedai. Jangan kurang walau sebiji.

"Macam mana, semua ok?" Ibunya terus bersuara sebaik sahaja melihat kelibat anaknya setelah membuka pintu.

"Beres! Sama persis yang ibu minta! 10 biji telur." Jawabnya penuh yakin.

"Aiman buat apa yang ibu pesan?" Ibunya mahu pengesahan, sambil tangan kanannya menghulur meminta plastik di tangan kanan Aiman.

"Sudah. Aiman minta pakcik Rahim cek kan. Dia kata cukup 10." Senyumannya masih bercahaya. Tangannya menghulur plastik tersebut. Dia terus berlari masuk ke rumah dan mengadap televisyen. Kata ibu, bila kerja selesai baru boleh tonton cerita.

Sesudah Aiman mengambil posisi yang baik di hadapan kotak televisyen, tiba-tiba dia terdengar jeritan dari belakang,

"Aiman!!!"

---------------------------

Muhasabah.
Juga diterjemah sebagai 'kira-kira'.

Ia berasal dari perkataan haa-sa-ba, yang bereti mengira.

Muhaasib, yang mengira.
Muhaasab, yang dikira.
Ilmu Hisab, ilmu kira-kira.
Muhasabah, perkiraan. Lebih kurang la.

Biasa kita mendengar orang kata : "Muhasabah la diri kita."
Kita pun duduk sejenak berfikir baik buruk sepanjang hari.

Ya! kita sedang berkira-kira dengan kehidupan kita seharian.
Apa yang dah untung kita lakukan, dan apa yang kurang dari diri kita.

Muhasabah Ramadan,
kita mengira, sejauh mana kita telah untung dan rugi.

Sudah berlalu 10 hari Ramadan tahun ini,
apakah kiraan kita menepati target yang kita letakkan pada awalnya?
Atau ada kekurangan di mana-mana?

Atau kita seumpama Aiman tadi,
dia tak mahu mengira-ngira,
dan tanpa sedar dia telah melakukan 'kekurangan' pada arahan si ibu.

Bagaimana dengan kita?

Selamat ber-kira-kira sepuluh Ramadan pertama!

No comments: