Thursday, June 16, 2016

Kira-kira Ramadan

Stop! And Check Yourself!


"Cukup semua pak?"

Pakcik itu membulat jari dengan menyambung hujung ibu jari dengan telunjuk, sambil tersenyum manis.

Budak itu girang. Dia terus mengutip 10 biji telur di atas meja kaunter dan meletakkannya dalam plastik putih sebelum berlalu pergi. Tak sabar ia ingin bertemu ibu dan berbangga akan kejayaannya menunaikan hasrat si ibu.

Dalam perjalanan pulang, budak kecil itu ternampak seekor burung biru sedang berehat-rehat di atas dahan pokok berhampiran. Ia berhenti sejenak. Mendongak ke atas.

"Woi burung cantik!" Teriak dia sambil mengangkat tangan kanan melambai laju. Tanpa disedari, dua biji telur terkeluar dari plastiknya dan jatuh ke tanah. Burung itu pula ketakutan dengan 'ngauman' suara budak itu lantas terbang melangit tinggi.

"Aduh... terbang pulak..." Ia mendengus. "Tak apa la. Nanti ada rezeki, ketemu lagi kita." Budak itu cuba hiburkan diri. Dia terus menyambung perjalanan ke rumah.

Sampai ke padang bola, tiba-tiba dia terdengar satu pekikak dari arah kanannya.

"Budak, hati-hati!"

Ia terus berpaling laju, dan tangan kanannya yang memegang plastik telur itu menutup muka.

Dushh!

Sebiji bola tepat terkena plastik yang menjadi perisai mukanya.

"Nasib baik aku pantas bertindak." Hati budak itu bermonolog.

"Engkau ok?" Seorang abang yang sedikit dewasa datang menghampirinya.

"Ok. baik-baik saja abang." Ia tersenyum manis.

"Apa yang ada dalam plastik tu? Ada rosak apa-apa tak?" Prihatin si abang bola tu.

"Ah, tak pe bang. Semua baik-baik. Abang pergi la, kawan abang dah memanggil tu." Balas budak kecil.

Abang itu terus merangkul bola dan berpaling pergi sambil mengangkat ibu jari kiri kepada budak itu.

"Nasib baik takde cedera." Budak itu terus berjalan pergi. Tidak sabar untuk bertemu dengan ibu.

Sampai sahaja di mula pintu rumah kayu milik ibunya, ia terus mengetuk dengan kuat. "Ibu, Aiman dah balik! Aiman bawa telur yang ibu pesan ni!" Teriak budak itu. Girang tak terkata. Sebelum ini, dia tak diberi kerja. Aiman budak cuai, selalu sahaja ada cacat cela dalam tugasan yang ia lakukan. Tapi kali ini, dia diberi peluang lagi. Dia harus membeli dan membawa balik tepat 10 biji telur dari kedai. Jangan kurang walau sebiji.

"Macam mana, semua ok?" Ibunya terus bersuara sebaik sahaja melihat kelibat anaknya setelah membuka pintu.

"Beres! Sama persis yang ibu minta! 10 biji telur." Jawabnya penuh yakin.

"Aiman buat apa yang ibu pesan?" Ibunya mahu pengesahan, sambil tangan kanannya menghulur meminta plastik di tangan kanan Aiman.

"Sudah. Aiman minta pakcik Rahim cek kan. Dia kata cukup 10." Senyumannya masih bercahaya. Tangannya menghulur plastik tersebut. Dia terus berlari masuk ke rumah dan mengadap televisyen. Kata ibu, bila kerja selesai baru boleh tonton cerita.

Sesudah Aiman mengambil posisi yang baik di hadapan kotak televisyen, tiba-tiba dia terdengar jeritan dari belakang,

"Aiman!!!"

---------------------------

Muhasabah.
Juga diterjemah sebagai 'kira-kira'.

Ia berasal dari perkataan haa-sa-ba, yang bereti mengira.

Muhaasib, yang mengira.
Muhaasab, yang dikira.
Ilmu Hisab, ilmu kira-kira.
Muhasabah, perkiraan. Lebih kurang la.

Biasa kita mendengar orang kata : "Muhasabah la diri kita."
Kita pun duduk sejenak berfikir baik buruk sepanjang hari.

Ya! kita sedang berkira-kira dengan kehidupan kita seharian.
Apa yang dah untung kita lakukan, dan apa yang kurang dari diri kita.

Muhasabah Ramadan,
kita mengira, sejauh mana kita telah untung dan rugi.

Sudah berlalu 10 hari Ramadan tahun ini,
apakah kiraan kita menepati target yang kita letakkan pada awalnya?
Atau ada kekurangan di mana-mana?

Atau kita seumpama Aiman tadi,
dia tak mahu mengira-ngira,
dan tanpa sedar dia telah melakukan 'kekurangan' pada arahan si ibu.

Bagaimana dengan kita?

Selamat ber-kira-kira sepuluh Ramadan pertama!

Thursday, June 2, 2016

Jauh dimata ini. Part 2

Pernah sekali, beliau dimarahi oleh gurunya hanya kerana tidak punya buku untuk menulis apa yang di ajarkan kepadanya. Jamil, salah seorang rakan kelasnya kadangkala meminjamkannya sehelai kertas kepadanya.
“Ijol, nah kertas. Ambillah.” Bisik Jamil. Ijol mengangguk-angguk sahaja, tanda berterima kasih.
****
Sewaktu rehat, Jamil mencari peluang untuk bercakap dengan Ijol. Dia hairan, mengapa Ijol tidak pernah membawa buku nota untuk sedang mencatat, dan ketika rehat pula, Ijol seringkali tidak makan.
“Ijol, kau tak makan ke?”, soal Jamil.
“Tak, aku tak lapar.”jawab Ijol sambil mencampakkan batu ke kolam ikan. Batu yang dicampakkan ke dalam kolam tersebut menyebabkan ikan-ikan didalam kolam tersebut seolah-olah berenang ke arah yang bertentangan dengan tempat yang Ijol campakkan batu.

“hah, kau kenapa Jamil? Tak pergi kantin ke? Sekarang kan dah pukul 10.20 dah, lagi sepuluh minit lagi nak habis rehat ni. Jangan risaukan aku. Nanti kau yang lapar.”
“ah. Bukan apa Ijol. Ada perkara-perkara yang aku fikir, aku perlu dapatkan penjelasan dari kau. Aku selalu perhati engkau ini. Engkau ini bukan budak tak pandai, aku rasa kalau diberi peluang mesti kau dapat kalahkan Afiq yang sombong itu dalam semua pelajaran. Tapi mungkin ada masalah-masalah yang barangkali aku fikir, engkau sembunyikan kepada orang lain. Jadi aku fikir, aku sebagai teman engkau aku ingin tahu apa yang sebenarnya melanda diri engkau ini?”
“Eh masalah apa,Jamil? Aku mana ada kacau orang,” nada kehairanan Ijol tiba-tiba tertonjol.
“Yela. Aku kira engkau tidak kacau orang. Tapi aku lihat sejak kebelakangan ini, engkau sering lewat ke sekolah sehingga dirotan oleh Cikgu Asri. Buku pula engkau tidak pernah bawa. Padahal telah dipesan banyak kali oleh semua cikgu-cikgu kita.”
“ah itu semua perkara kecil sahaja. Aku tidak fikir ianya sepatutnya menggangu fikiran engkau,” balas Ijol.
“Aku kawan engkau Ijol. Aku kenal kau sudah lama.  Lagipun apalah salahnya seandainya engkau berkongsi duka dengan aku, sebab aku juga adalah saudaramu dalam keimanan.”
“Kringg, Kring,”bunyi loceng menandakan tamatnya waktu rehat.
Tidak sempat Ijol balas, tiba-tiba sahaja bunyi loceng sudah bunyi. Jom Jamil kita kembali semula ke kelas, nanti kita kena denda pula.

“Aku fikir baik kita tangguhkan sahaja perbualan kita ini, didalam kelas nanti,” cadang Ijol.

Wednesday, June 1, 2016

Jauh dimata ini. Part 1

“Abang, abang kenapa kita tidak boleh makan disana?”soal Ijol  sambil menuding jarinya ke seberang kedai makanan segera KFC.
“Ijol, kita mana mampu hendak makan kedai yang sebegitu. Apa yang kita makan sekarang ini pun sudah cukup untuk mengisi perut ini. Bersyukurlah Ijoi dengan apa yang Tuhan kurniakan pada kita. Mungkin ada yang lagi susah dari kita.”, pujuk Arif, yang merupakan abang kepada Ijoi.

            Jauh disudut hati Ijol berasa hampa kerana sudah lama mengidamkan makanan dikedai makanan tersebut. Hampir setiap hari, setelah abangnya mengambil Ijol dari sekolahnya, mereka berteduh di bawah pokok, untuk makan makanan yang dibekalkan oleh ibu mereka. Mungkin juga untuk berehat. Pokok tersebut pula memang terletak betul-betul berhampiran dengan kedai tersebut. Adakalanya Ijol diam-diam pergi kedai tersebut, melihat makanan yang dipaparkan di kaunter. Namun Ijol hanya duduk dan melihat, tidak pula membeli kerana dia tahu siapa dirinya. Dia hanyalah budak miskin yang tidak mampu membeli makanan-makanan tersebut.
            Alangkah kecewanya dirinya apabila abangnya menjawab sedemikian, setelah lama hanya melihat orang membeli.Mukanya monyok seakan-akan tidak menerima jawapan yang diberi oleh abangnya. “Ijol, janganlah sedih Ijol. Abang janji, kalau kita ada duit lebih, nanti abang belanja Ijol KFC ye.”, pujuk  Arif sekali lagi.
“wah betul ke, Abang?” wajahnya yang monyok tadi tiba-tiba mengukir kembali senyuman.
“Iya, Ijol abang janji. Tapi Ijol kena janji dengan abang satu perkara!”
“Eh, ada syarat pula. Apa dia syaratnya?” soal Ijol.
“Ijol kena belajar elok-elok. Jangan malas-malas, buat kerja sekolah, buktikan Ijol juga pandai macam budak-budak lain.”
“Hmm. Okay abang. Saya janji.” Jawab Ijol dengan penuh yakin. Ijol sememangnya budak pandai. Apa yang diajarkan oleh guru, dia lebih cepat tangkap berbanding murid-murid yang lain. Namun, disebabkan kekurangan kewangan, dia tidak dapat belajar dengan baik disekolahnya. Dia tidak mampu membeli buku-buku catatan seperti kawan-kawan yang lain. Pernah sekali, beliau dimarahi oleh gurunya hanya kerana..
Bersambung…
Ibn Skywalker