Wednesday, September 28, 2016

Membina Personaliti Syariah Berketerampilan

Bismillah.

Sudah lama rasanya saya tidak menitipkan kata di dalam muka blog ini, bukanlah hilang minat, bukan jua tiada masa tetapi entahlah keadaan sekeliling seolah-olah menghentikan saya. Rasa segar dan gembira dapat kembali membiasakan diri menulis. Makalah kali ini adalah hasil sebahagian gabungan nota + coretan saya ketika menimba ilmu bersama seorang sosok tokoh negara, Dr Daud Bakar yang membicarakan Pembinaan Minda & Personaliti Syariah Berketerampilan.

MENGENALI DIRI SENDIRI

Mengenali itu ibarat mencintai, mencintai itu akan menghasilkan tindak-tanduk mengisyaratkan kecintaan itu. Kita perlu menggali di tahap manakah minat diri kita untuk menjadi seorang personaliti syariah. Adakah hanya sebagai ikutan masa dan keadaan atau hasil minat yang benar. Minat adalah penting dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik. Mana mungkin seorang yang berjiwa kedoktoran akan melakukan yang terbaik dalam perkara melibatkan industri syariah, begitu jualah sebaliknya. Menanyakan adakah sikap kita hari ini akan membentuk seorang personaliti syariah yang berjaya di masa hadapan. Menilai tahap keilmuan semasa kita adakah mencukupi atau kekurangan. Menilai kefahaman kita terhadap teori2 pembelajaran dengan sering mengaitkan kepada realiti2 semasa.

PENANDA ARAS/ BENCHMARKING

Dalam membentuk diri berketerampilan seorang personaliti syariah, kita sewajarnya meletakkan penanda aras terhadap diri sendiri, apa yang perlu kita lakukan, apa yang hendak dicapai dalam kerangka masa-masa yang ditetapkan. Melihat cara hidup pakar dan professional sedia ada dalam bidang syariah, jadikan ia sebagai panduan dalam merancang kehidupan yang bermakna ketika di usia muda. Penting juga untuk kita dalam membina minda dan personaliti syariah mempunyai seorang 'role model' dalam bidang ini supaya dapat memberi inspirasi kepada kita. Andai ketika berasa hendak gagal, lihatlah mereka yang berjaya. Mudahan dapat mengembalikan semangat yang sifatnya tidak utuh senantiasa.

DILEMA PERSONALITI SYARIAH

Setiap orang ada dilema masing-masing samaada sedar atau tidak. Mempunyai perasaan sombong dengan kerjaya/profesion syariah, suka dirinya dijadikan bahan pujian dan suka juga memuji diri, seolah-olah segala kebaikan berpunca daripadanya adalah asam garamnya. Selain itu, kurang 'reality check'. Untuk terus menjadi yang terbaik, ianya adalah satu proses, satu jalan yang sentiasa memerlukan kepada kebolehan dan kemahiran diri agar dapat mendepani zaman yang semakin mencabar. Gagal untuk menganalisa kelemahan ialah gagal untuk membina kekuatan. Kesilapan yang disedari boleh diperbaiki, yang kurang kita perbaiki, yang lemah kita kuatkan, yang buruk kita baikkan. Jangan pernah merasa selesa dan bagus dengan diri sendiri, ianya ibarat 'gas beracun', walaupun ianya biasa hakikatnya lama kelamaan memakan diri. Terlalu mengamalkan penggunaan 'otak kiri', ya ianya memang bersifat kemanusiaan tetapi sering nak promote goodness but too much sehingga mengabaikan prinsip2 syariah yang ada. Dilema seorang personaliti syariah juga adalah seorang penghukum, mereka mudah menghukum orang lain, minda penghukum ialah minda golongan busata', iaitu simple minded person, ada satu khilaf dan masalah terus menghukum bukan dengan cara menukar polisinya agar boleh diterimaguna di dalam industri.

TIPS-TIPS PRAKTIKAL

Kita sebagai seorang yang berstatus pelajar syariah boleh membiasakan pembacaan terhadap fatwa2 berkaitan bidang ini secara intensif, selain memberi ilmu dan kefahaman, ianya juga akan melatih cara pemikiran kita terhadap sesuatu isu dan cara penyelesaiannya seperti golongan2 pakar yang memberi fatwa, namun bukanlah bermakna kita layak mengeluarkan fatwa. Itulah adat pembacaan, orang yang ingin bagus di dalam karangan bahasa Inggeris, mereka akan memperbanyak membaca novel-novel Inggeris kerana apa? kerana ia akan menambahkan perkataan mereka dan membina gaya penulisan dan pemikiran mereka ibarat si penulis novel. Perlu juga membaca standard syariah(mi'yar) agar kita tidak ketandusan maklumat berkaitan bidang ini. Buku-buku berkaitan fekah yang menjadi pilihan hati kita, bagi saya setakat ini buku Minda Syariah Kewangan Islam. Percayalah jika buku ini telah dibaca dan dihadam dengan baik inshaAllah seseorang itu mampu menilai bagaimana tahap minda dia berfungsi selama ini dan lebih hebat dari itu ia mengajar bagaimana minda seseorang menyelesaikan sesuatu masalah dengan kritis disamping mengetahui bagaimana 'proses' ke arah mencari solusi. Dr. mencadangkan agar dapat membaca kitab-kitab asas bagi golongan syariah ini seperti al-Luma'(al-Shirazi), al-Ihkam(al-Amidi), al-Mustasfa(al-Ghazali) untuk memantapkan base ilmu kita. Jikalau sukar untuk mencari dan menjumpai kitab-kitab ini, bolehla men'download' aplikasi 'almaktabah assyaamilah' di telefon masing-masing, kerana banyak kitab yang ada di situ dan boleh dibaca secara maya tetapi perlu 'download' dahulu.

Semoga bermanfaat.