Thursday, February 23, 2017

Masinnya Gula, Manisnya Garam


"Hari ini saya bawa kamu sejenis gula yang special." Seorang ustaz mengeluarkan sebiji balang berisikan pasir putih.

"Sebelum itu, saya ingin bertanya, apakah rasa gula?" Ustaz memandang wajah Ahmad.

Ahmad diam.

"Ahmad rasa, apakah gula rasa manis atau masin?" Ustaz memberi pilihan selepas melihatnya membisu beberapa tika.

"Manis." Jawabnya pendek.

"Are you sure?" Ustaz itu mula bermain kata.

Ahmad hanya diam. Kening kanannya mula menjungkit naik ke atas.

"Baiklah. Di sini, ada sebiji balang gula yang rasanya masin." Mata ustaz beralih kepada balang tadi. Tangannya memegang balang itu dan didekatkan kepada Ahmad. "Percaya?" Ustaz itu mencabar.

Mata Ahmad mula tertumpu pada balang. "Tak."

"Kalau gula ini betul-betul masin, macam mana?" Ustaz itu terus bermain kata.

"Mustahil. Mana ada gula yang masin." Ahmad malas-malas melayan karenah ustaz itu.

Ustaz itu menoleh ke belakang dan menjerit, "Abid, datang sini sekejap!"

Tidak jauh dari situ, ada seorang kanak-kanak yang sedang bermain dengan bola kecil berwarna merah. Abid terus berpaling, "Ye abah. Abid datang." Budak itu terus berlari kepada ustaz itu sambil mengengam erat bolanya.

"Ada apa abah?" Abid bersuara.

"Cuba Abid rasa gula ini, masin tak rasanya?" Ustaz itu memberi arahan pada budak kecil itu, sambil membuka penutup balang kaca itu.

"Baik!" Abid segera memasukkan tangannya ke dalam balang. Dia memanjangkan jari telunjuknya. Beberapa biji 'pasir putih' melekat pada jarinya. Abid menarik tangannya keluar dan terus meletakkan jarinya ke atas lidah. Dahinya berkerut.

"Macam mana? Masin tak?" Ustaz itu menyoal.

"Tak. Manis la abah." Kerut di dahi menghilang, dan bibirnya mengukir senyuman. "Mana ada masin." Dia menyambung dan terus berlari ke tempat permainan asalnya.

"Kan saya dah kata, gula itu manis. Yang masin adalah garam. Apalah ustaz ni. Ingat saya ni budak-budak ke?" Tiba-tiba Ahmad mencelah.

"Itu gula biasa. Gula ni lain sikit, Ahmad. Memang betul, rasanya masin." Ustaz menoleh muka kembali kepada Ahmad.

"Mengarut, Semua gula sama saja." Ahmad mencebik muka. "Lagipun anak ustaz sendiri kata gula tu manis."

"Ahmad percaya pada budak kecik, atau pada ustaz yang dah lama hidup?" Ustaz mula mencabar. "Ahmad fikir ustaz tipu?" Ustaz itu terus buat provokasi.

Ahmad mula membetulkan badannya. Jiwanya mula tertarik dengan provokasi ustaz itu.

Sebelum Ahmad menjawab ustaz itu menyambung lagi, "Takkan Ahmad tak percaya pada ustaz. Kalau ustaz pun Ahmad tak percaya, siapa lagi yang nak dipercayai?"

"Bukan isu percaya atau tak, tapi memang gula itu manis." Ahmad menyangkal kata-kata ustaz.

"Ahmad nak try rasa?" Ustaz menghulur balang yang terbuka itu.

Ahmad memandang 'pasir putih' itu.

"Kenapa? Takut?" Ustaz itu terus provok.

"Tak. Saya yakin gula itu manis." Dia terus menghulur tangannya ke dalam balang. Mengambil sedikit pasir, dan terus ia kecapi dengan lidahnya. "Kan, manis rasanya." Dia bersuara.

Ustaz itu senyum. "Kenapa Ahmad tak percaya dengan kata-kata ustaz bahwa gula itu masin?"

"Sebab gula memang manis. Nak kata apa lagi?" Ahmad sedikit naik suaranya.

"Itulah dinamakan Aqidah." Ustaz itu cepat-cepat bersuara bagi mengelak sebarang ketegangan.

Ahmad terdiam. "Aqidah?" Hatinya berbisik. Bebola matanya tepat menuju pada ustaz itu. Dia seakan sudah sedia untuk menyambut kata-kata yang seterusnya.

Monday, February 20, 2017

Bila Kata-Kata Manusia Menguasai

Qaul Ulamak vs Qaul Allah.

Kita kebanyakkan mengangungkan kata-kata Ulamak. Kebanyakkan dari kita meng-update status di media sosial dengan kata-kata manusia yang telah berjaya 'mengubah' kita.

Seolah-olah Kata-Kata Allah tidak sekuat pengaruh kata-kata manusia atau ulamak.

Ini satu budaya bangsa kita, sukarnya bagi kita menjiwai dan mengambil semangat daripada Kata-Kata Allah.

"Katakanlah: aku meletakkan diri kepada Tuhan yang memecah (kegelapan). Daripada sisi-sisi gelap apa yang Dia ciptakan. Dan daripada keburukan kegelapan malam. Dan daripada (kegelapan) sihir para peniup di tali-temali. Dan daripada (kegelapan) orang hasad bilamana ia berhasad."

Friday, February 17, 2017

Sepetang dengan burung kecil & burung besar.

Amir seperti biasa singgah berehat di pondok kecilnya dibelakang rumah atuknya. Pondok itu boleh memuatkan 10 orang yang dibina oleh arwah moyangnya.
Ketika berehat, dia membawa makanan lebihan sewaktu sekolah pagi tadi. Amir mengambil peluang untuk melontarkan lebihan nasi ke arah burung-burung kecil.

Maka, berkicau-kicauan burung tersebut tanda menyambut makanan yang diberikan oleh Amir. Seolah-olah gembira akan rezeki yang dibahagi-bahagi Tuhan.

Keriangan itu nampaknya tidak berkekalan, dengan kehadiran beberapa burung yang saiz dua kali ganda besar berbanding burung kecil itu. Seolah-olah membuli burung-burung kecil.

Ini menimbulkan beberapa tindak balas oleh kumpulan burung kecil itu.

Ada yang membiarkan sahaja makanan mereka di rampas.
Ada yang memilih untuk terbang ke kawasan lain.
Ada yang bertindak untuk melarikan makanan.

Dalam keasyikan Amir merenung kejadian itu, Haziq datang untuk menyapa kawan sekolahnya itu,"Weh, Amir kau tengok apa tu!"

Amir tersentak dari pemerhatiannya, lalu menjawab" Takde aku tengah perhati burung-burung tu tadi"

Haziq bertanya lagi,"hah? Untuk apa?"

"Taklah. Burung-burung ini ibarat manusia juga. Kau bayangkan burung besar tu. Mereka ni macam orang politik yang berkepentingan. Kehadiran mereka hanya untuk mengambil hak orang lain tanpa rasa bersalah. Merampas rezeki orang lain tanpa hak mereka sebenar. Demi kepentingan diri, manusia seperti ini sanggup menindas, selagi mana mereka punya pangkat, punya nama dimata masyarakat.

Padahal, amanah dan kepercayaan yang  diberikan adalah untuk mereka berjasa semula kepada masyarakat, bukan untuk menyuapkan ke dalam perut sendiri. Mereka telah terpedaya dengan kerendahan dunia ini. Sampai hilang pertimbangan akal dan belas kasihan terhadap lain.

Yang menerima padahnya adalah rakyat marhaen juga. Alangkah ruginya hidup mereka ini. Hidupnya dibenci, namanya akan dicela."

17 FEB 2017
Ibn Skywalker



Wednesday, September 28, 2016

Membina Personaliti Syariah Berketerampilan

Bismillah.

Sudah lama rasanya saya tidak menitipkan kata di dalam muka blog ini, bukanlah hilang minat, bukan jua tiada masa tetapi entahlah keadaan sekeliling seolah-olah menghentikan saya. Rasa segar dan gembira dapat kembali membiasakan diri menulis. Makalah kali ini adalah hasil sebahagian gabungan nota + coretan saya ketika menimba ilmu bersama seorang sosok tokoh negara, Dr Daud Bakar yang membicarakan Pembinaan Minda & Personaliti Syariah Berketerampilan.

MENGENALI DIRI SENDIRI

Mengenali itu ibarat mencintai, mencintai itu akan menghasilkan tindak-tanduk mengisyaratkan kecintaan itu. Kita perlu menggali di tahap manakah minat diri kita untuk menjadi seorang personaliti syariah. Adakah hanya sebagai ikutan masa dan keadaan atau hasil minat yang benar. Minat adalah penting dalam menghasilkan sesuatu yang terbaik. Mana mungkin seorang yang berjiwa kedoktoran akan melakukan yang terbaik dalam perkara melibatkan industri syariah, begitu jualah sebaliknya. Menanyakan adakah sikap kita hari ini akan membentuk seorang personaliti syariah yang berjaya di masa hadapan. Menilai tahap keilmuan semasa kita adakah mencukupi atau kekurangan. Menilai kefahaman kita terhadap teori2 pembelajaran dengan sering mengaitkan kepada realiti2 semasa.

PENANDA ARAS/ BENCHMARKING

Dalam membentuk diri berketerampilan seorang personaliti syariah, kita sewajarnya meletakkan penanda aras terhadap diri sendiri, apa yang perlu kita lakukan, apa yang hendak dicapai dalam kerangka masa-masa yang ditetapkan. Melihat cara hidup pakar dan professional sedia ada dalam bidang syariah, jadikan ia sebagai panduan dalam merancang kehidupan yang bermakna ketika di usia muda. Penting juga untuk kita dalam membina minda dan personaliti syariah mempunyai seorang 'role model' dalam bidang ini supaya dapat memberi inspirasi kepada kita. Andai ketika berasa hendak gagal, lihatlah mereka yang berjaya. Mudahan dapat mengembalikan semangat yang sifatnya tidak utuh senantiasa.

DILEMA PERSONALITI SYARIAH

Setiap orang ada dilema masing-masing samaada sedar atau tidak. Mempunyai perasaan sombong dengan kerjaya/profesion syariah, suka dirinya dijadikan bahan pujian dan suka juga memuji diri, seolah-olah segala kebaikan berpunca daripadanya adalah asam garamnya. Selain itu, kurang 'reality check'. Untuk terus menjadi yang terbaik, ianya adalah satu proses, satu jalan yang sentiasa memerlukan kepada kebolehan dan kemahiran diri agar dapat mendepani zaman yang semakin mencabar. Gagal untuk menganalisa kelemahan ialah gagal untuk membina kekuatan. Kesilapan yang disedari boleh diperbaiki, yang kurang kita perbaiki, yang lemah kita kuatkan, yang buruk kita baikkan. Jangan pernah merasa selesa dan bagus dengan diri sendiri, ianya ibarat 'gas beracun', walaupun ianya biasa hakikatnya lama kelamaan memakan diri. Terlalu mengamalkan penggunaan 'otak kiri', ya ianya memang bersifat kemanusiaan tetapi sering nak promote goodness but too much sehingga mengabaikan prinsip2 syariah yang ada. Dilema seorang personaliti syariah juga adalah seorang penghukum, mereka mudah menghukum orang lain, minda penghukum ialah minda golongan busata', iaitu simple minded person, ada satu khilaf dan masalah terus menghukum bukan dengan cara menukar polisinya agar boleh diterimaguna di dalam industri.

TIPS-TIPS PRAKTIKAL

Kita sebagai seorang yang berstatus pelajar syariah boleh membiasakan pembacaan terhadap fatwa2 berkaitan bidang ini secara intensif, selain memberi ilmu dan kefahaman, ianya juga akan melatih cara pemikiran kita terhadap sesuatu isu dan cara penyelesaiannya seperti golongan2 pakar yang memberi fatwa, namun bukanlah bermakna kita layak mengeluarkan fatwa. Itulah adat pembacaan, orang yang ingin bagus di dalam karangan bahasa Inggeris, mereka akan memperbanyak membaca novel-novel Inggeris kerana apa? kerana ia akan menambahkan perkataan mereka dan membina gaya penulisan dan pemikiran mereka ibarat si penulis novel. Perlu juga membaca standard syariah(mi'yar) agar kita tidak ketandusan maklumat berkaitan bidang ini. Buku-buku berkaitan fekah yang menjadi pilihan hati kita, bagi saya setakat ini buku Minda Syariah Kewangan Islam. Percayalah jika buku ini telah dibaca dan dihadam dengan baik inshaAllah seseorang itu mampu menilai bagaimana tahap minda dia berfungsi selama ini dan lebih hebat dari itu ia mengajar bagaimana minda seseorang menyelesaikan sesuatu masalah dengan kritis disamping mengetahui bagaimana 'proses' ke arah mencari solusi. Dr. mencadangkan agar dapat membaca kitab-kitab asas bagi golongan syariah ini seperti al-Luma'(al-Shirazi), al-Ihkam(al-Amidi), al-Mustasfa(al-Ghazali) untuk memantapkan base ilmu kita. Jikalau sukar untuk mencari dan menjumpai kitab-kitab ini, bolehla men'download' aplikasi 'almaktabah assyaamilah' di telefon masing-masing, kerana banyak kitab yang ada di situ dan boleh dibaca secara maya tetapi perlu 'download' dahulu.

Semoga bermanfaat.



Tuesday, August 16, 2016

Siri Penubuhan Negaea Haram Israel [01 Kongres Zionis Pertama]

[01 Kongres Zionis Pertama]

1. Plan awalnya, kongres ini ingin dilaksanakan di Munich Jerman. Namun telah ditentang oleh rabbi yahudi sehingga ia terpaksa dipindah ke Basle Switzerland.

2. Kongres ini berlangsung pada 29-31 Ogos 1897. Dihadiri seramai 200 peserta daripada 17 buah negara. Ia dipengerusi oleh Theodor Herzl, juga digelar pengasas Zionisme Moden.

3. Agenda utama kongres ini adalah pembentangan plan Herzl mengenai penubuhan Pertubuhan Zionis Sedunia (WZO-World Zionist Organization). Max Nordau menyatakan, "tujuan Zionisme ialah untuk mewujudkan negara bagi orang Yahudi di tanah Eretz Israel (Tanah Israel) dengan jaminan undang-undang".

4. Resolusi utama kogres adalah: mewujudkan flatfom bagi pergerakan Zionis yang dipanggil "Basle Program" dan menjadi tapak asas kepada WZO. WZO berjaya ditubuhkan sepenuhnya pada 1960. Sebelum itu ia dipanggil Zionist Organization (ZO).

5. Tujuan menubuhkan ZO adalah:

i) memperkenalkan penempatan orang Yahudi yang terdiri daripada para petani, artis dan usahawan di Eretz Israel di Palestin,

ii) menyatukan orang2 Yahudi ke dalam institusi2, samada lokal atau antarabangsa, secara sah mengikut undang2 di negara masing2,

iii) menguatkan perasaan sentimen keyahudian dan persaudaraan,

iv) menyediakan langkah-langkah bagi mewujudkan 'kerajaan' yang dicitakan oleh Zionis.

6. Herzl telah menulis dalam diarinya (3 September 1897):

"Apa yang saya boleh saya simpulkan dari Kongres Basle dalam satu perkataan adalah sepertimana berikut : Di Basle saya telah menemui Negara Yahudi. Jika saya menyatakan hari ini dengan lantang, saya akan diketawakan oleh dunia. Dalam 5 tahun mungkin, atau 50 tahun sudah tentu, semua orang akan menerimanya."

7. Ternyata 50 tahun kemudian, 1948, Negara Haram Israel telah tertubuh.

Wallahu a'lam.

Monday, August 15, 2016

Siri Penubuhan Negara Haram Israel [00 Kronologi]

Siri Penubuhan Negara Haram Israel di Bumi Palestin.

Kurang dari sebulan yang lalu, ada pihak telah membuang nama Palestin dari peta 'Google Map', dan menggantikannya dengan Israel yang tidak diiktiraf oleh majoriti masyarakat dunia.

Sikap diam diri dan membisu sesama kita hanya akan memburukkan keadaan yang telah sedia ada. Pencabulan ke atas rakyat dan negara Palestin berlaku disebabkan kejahilan kita terhadap isu Palestin-Israel.

Generasi muda yang tidak terdedah dengan penubuhan negara Israel yang tidak sah di bumi Palestin hanya akan membantu secara tidak langsung golongan Zionis untuk terus menzalimi saudara kita di Palestin.

Sehubungan dengan itu, catatan pendek ini ditulis untuk rujukan semua agar kita mendapat gambaran besar (big picture) terhadap isu ini. InsyaAllah.

Kita akan mulakan dengan kronologi secara menyeluruh. Seterusnya kita akan menyentuh Kongres Zionis Pertama pada 1897 di Basle, Switzerland, sehinggalah negara Israel tertubuh secara haram pada 1948, sepertimana yang dicita-citakan oleh Theodor Herzl.

[00 Kronologi]

(1)
1897 : Kongres Pertama Zionis

(2)
1914-1918 : Perang Dunia Pertama

(3)
1916 : Perjanjian Sykes-Picot

(4)
1917 : Deklarasi Balfour

(5)
1920 : 'British Mandate' di Palestin

(6)
Penghijrahan Yahudi

(7)
'Jewish National Home'

(8)
1930an : Syeikh Izzuddin Al-Qassam

(9)
1939-1945 : Perang Dunia Kedua

(10)
1947 : UNSCOP dan Resolusi 181 PBB

(11)
1948, 14 Mei : Berdirinya Negara Haram Israel

(12)
1948, 15 Mei : Peristiwa Nakbah

Semoga dengan kronologi secara ringkas ini membantu kita untuk mempersiapkan mindsetting bgi catatan-catatan mendatang. InsyaAllah.

Wallahu a'lam.


Wednesday, August 3, 2016

Catatan Jaulah Tarbawi '16

Bismillah.


"Penghijrahan spiritual harus disertai dengan penghijrahan jasad."
Memetik kalam indah sang imam Al-Ghazali.

Minggu lepas, saya berpeluang mengadakan jaulah tarbawi berseorangan. Satu perancangan yang sudah difikirkan dua bulan yang lalu. Alhamdulillah, niat untuk menziarahi beberapa orang sahabat di bumi Selangor dan Kuala Lumpur akhirnya termakbul jua.

Jaulah kali ini agak berlainan daripada yang biasa. Kebanyakkan jaulah dilakukan secara berkumpulan, dan yes, it should be! Tapi oleh kerana kekangan masa dan sahabat yang sudi bersama, akhirnya saya nekad untuk teruskan walau bersendirian. And yes, I made it! Alhamdulillah.

Oleh kerana aktiviti kali ini dilakukan sendirian, maka perancangan juga diatur keseorangan. Mudah dan lebih tersusun. Tapi untuk membuat temu janji dengan sahabat untuk melawat rumah dan bertemu dengan keluarga tidak semudah yang difikirkan. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja mereka.

Well, kita hanya teruskan apa yang kita mampu lakukan. InsyaAllah.


Melalui jaulah kali ini, saya pecahkan faedah yang saya peroleh kepada berikut :

Pertama,
Nilai ukhuwwah persahabatan. Target untuk menyambung silaturrahim tertumpu pada sahabat yang sudah tidak ketemu lebih dari satu tahun ke atas. Dengan target ini, saya dapat bertemu semula dengan sahabat lama seperti akh Shukri Salleh dan akh Mun'im yang sekarang menjadi ustaz yang penuh integriti di sekolah Al-Amin Gombak. Juga akh Saddam yang sudah bekerja menjadi pemandu teksi yang jujur. Akh Farhan pula baru saja menginjak kaki ke alam rumah tangga.

Saya juga berkesempatan bersama akh Syazwan Saadun, akh Yusuf, dan akh Ali Aminuddin pada hari pertama ketibaan saya di bumi UIA Gombak. Mereka begitu baik hati untuk menyediakan tempat untuk saya berehat dan sudi untuk memimjamkan saya motor untuk tujuan jaulah ini.

Dalam jaulah ini juga saya sempat berkenalan dengan sahabat baru yang mempunyai latar belakang yang pelbagai. Terima kasih kepada akh Muadz Roslan, akh Mus'ab, akh Uwais, akh Ammar yang sedang menuntut di UIA PJ. Pertemuan dengan mereka semua terasa peningkatan iman dalam jiwa.

Disamping itu, dalam elemen ini juga, saya berkesempatan untuk memenuhi hak seorang akh yang sedang ditimpa musibah kerana ayahnya dirawat di Intitut Jantung Negara (IJN), akh Aiman Zailan. Menziarahi saudara yang sedang dilanda ujian akan mampu melahirkan perasaan ukhuwwah dan mahabbah yang lebih utuh.

Kedua,
nilai ukhuwwah kekeluargaan. Dalam jaulah ini juga saya mengambil kesempatan untuk bermalam di rumah abang sulung untuk membina hubungan kekeluargaan. Dalam masa yang lain, saya sempat menziarahi keluarga akh Arif dan Ammar di Putrajaya. Dengan menemui ibunya serta ahli keluarganya, ia akan membantu proses tautan jiwa antara kita semua. InsyaAllah.


Ketiga,
nilai spiritual juga cuba saya perhatikan. Setiap waktu solat saya akan berusaha untuk melakukan secara berjemaah, samada di masjid atau tempat saya bertemu dengan sahabat. Setiap pagi juga saya akan menghabiskan bacaan Matsurat dan merasai aura setiap lafaz doanya. Bacaan Al-Qur'an juga diteruskan walau tidak banyak seperti kebiasaan.

Saya juga sempat beriktikaf di beberapa buah masjid. Antaranya masjid SHAS di UIA Gombak, masjid Al-Hasanah di Bandar Baru Bangi, masjid Putra di Putrajaya. Masjid-masjid ini begitu mengamit suasana ruhi bagi hadirin. Alhamdulillah.

Keempat,
diskusi dan perbincangan dunia politik juga tidak dilepaskan. Alhamdulillah, dengan menziarahi abang sulung, saya sempat mendengar banyak input berguna tentang politik semasa di negara ini, terutama isu PAS-AMANAH. Saya juga sempat berbalas-balas WhatsApp dengan kawan lama berkenaan tajuk yang sama.

Tidak cukup itu, saya berpeluang untuk bersama-sama dengan sahabat dalam Jamuan Raya Amanah Titiwangsa. Pertemuan langsung dengan Presiden Amanah, Mat Sabu, tak disangka langsung oleh saya. Alhamdulillah, sempat mendengar pidato Mat Sabu berkaitan politik semasa. Sudah tentu dia banyak berbicara tentang 1MDB dan governen kleptoski (pimpinan perompak).

Kelima,
ziarah UIA Gombak mampu membangkit memori silam. Hampir separuh hari saya berada di universiti lama saya ini. Menziarahi masjidnya, bangunan kuliah IRK, perpustakaan, gerai The Grill dan Kafe Ali mampu menghangatkan suasana jaulah kali ini. Mengenang masa lampau sebahagian motivasi untuk diri kita bagi meneruskan kehidupan akan datang.

Keenam,
dalam jaulah ringkas ini juga, saya berpeluang untuk bersama adik-adik dari Ikram Siswa UIA Kuantan (ISUK) bagi membincangkan gerak-kerja dakwah dan tarbiyyah di masa mendatang. Seronok bersama mereka dalam proses merangka plan dakwah bagi melestarikan sunnah Rasulullah di bumi Malaysia ini. InsyaAllah.

Selain itu, saya sempat bersama ustaz Nazrul dalam diskusi perkembangan study circle di bumi UIA Gombak. Alhamdulillah, saya ditawarkan untuk memberi taklimat dan sedikit perkongsian teknik membawa halaqah bagi adik-adik fasi. Ini satu peluang dakwah bagi saya.

Dan untuk ketujuh,
pada awalnya saya merancang untuk meneroka tempat baru, tapi sepertinya saya tidak berjaya melainkan berkenalan dengan rumah akh Arif. Banyak rumah atau kawasan yang saya hajati untuk terokai tidak berjaya disebabkan faktor kesibukan dan cuaca yang tidak menentu.

-----------------------------------------


Jaulah & Tarbiyyah

Dunia tarbiyyah yang saya yakini tak pernah lekang dari aktiviti jaulah atau rehlah. Dua aktiviti ini sentiasa dilakukan oleh para ikhwan bagi membantu proses pentarbiyyahan. Tanpa kedua-dua aktiviti ini, pasti akan ada lopong dalam dunia dakwah dan tarbiyyah.

Namun, melakukan jaulah tanpa memahami dengan jelas ia punya misi dan wawasan hanya mengakibatkan seseorang itu membazir tenaga dan masa, even wang. Oleh itu, bagi memaksimumkan manfaat daripada aktiviti jaulah ini, hendaklah kita bertemu dengan orang yang arif bagi mendapatkan pencerahan darinya.

Jikalau kita serius dalam aktiviti jaulah, kita akan bakal beroleh hasil yang banyak, seperti :

1. Ziarah tokoh dakwah dan masyarakat,
2. Ziarah keluarga sahabat atau ikhwah,
3. Kenali tempat-tempat yang masyhur di kawasan yang dilalui,
4. Merasai makanan tempatan yang susah didapati,
5. Melatih semangat ukhuwwah dan toleransi,
6. Mentadabbur alam,
7. Belajar konsep pengurusan masa secara praktikal,
dan banyak lagi.

Jika jaulah tidak difahami dan tidak dirancang dengan baik, maka jadilah ia seperti lawatan kosong yang tidak membangkitkan keimanan kepada Allah, bahkan boleh jatuh ke perkara yang lagha.

Sedangkan konsep pengembaraan ini adalah satu daripada tuntutan Ilahi, yang membawa manusia mengenali kebesaran Tuham dan kekerdilan diri.

Akhir kalam, marilah kita cuba mencari masa dan sahabat sefikrah, dan lakukan pengembaraan di bumi Allah yang luas ini. Mulakan dengan kawasan dekat dahulu. Kemudian mulalah menebar ke negara yang lebih jauh.

Salam jaulah...!


Wallahu a'lam.