Saturday, May 7, 2016

Dua Hari Lagi

Lima Bulan lepas.
Saya hanya bercita kecil.
Mengumpul orang yang mahu bersama.
Membina cita perkumpulan penulis-penulis.

Tika itu.
Saya banyak diam.
Memikir nasib di akhir.
Entah menghasilkan buah atau tidak.

Berbekalkan sedikit kata.
Dan berapa kawan setia di sisi.
Maka kumpulan kecil ini terbentuk.
Walau ia tak segagah dan sehebat diluar sana.

Saya terus diam.
Membesarkan obor di hati.
Terkadang rasa payah sekali melangkah.
Namun bayangan Syurga menarik ku ke depan.

Dua hari lagi.
Hati berasa berdebar.
Menghadapi program besar.
Yang sudah lama dihasrat bersama.

Kami tidak minta lebih.
Hanya berharap agar bengkel ini.
Mampu melancarkan gerakan jari di papan kekunci.
Untuk dipersembahkan pada Tuhan kami sekalian alam.

Bukan itu saja.
Kami mahu terus tersenyum.
Mengukir kata dengan bahasa indah.
Untuk tatapan manusia yang kebosanan.

Wahai Tuhan.
Inilah kami yang kerdil.
Berhasrat menghibur diri dan lain.
Maka Ya Allah, terimalah amal kami.

Dua Hari Lagi.

Wednesday, May 4, 2016

Pandangan pertama (part 2)


Setelah membersihkan badannya dengan air wudhuk, namun Aiman terlupa dimanakah dia meletakkan telefon pintar S4 nya itu. Setelah lama mundar mandir dibiliknya sendiri, dia masuk kembali ke bilik airnya itu, lekas terjumpa telefonnya itu di singki bilik air. 
Cepat-cepat Aiman menggapai tangannya untuk mengambil telefon kesayangannya itu. Dia begitu hampa melihat telefonnya itu direndam dalam singki bilik airnya itu. Mukanya pucat setelah melihat S4 , tidak lagi menyala dan tidak lagi memberi apa-apa tindak balas.Hatinya remuk. 


Hampir sahaja dia meninggalkan solat subuh. Afiq, yang baru sahaja bangkit dari tidur, ingin ke bilik air lalu ternampak Aiman, dia menyapa kawannya itu, "Man, engkau dah solat?"

Aiman terdiam tidak membalas sapaan sahabatnya itu. Aiman bertanya sekali lagi," Man, engkau dah solat? Kenapa kau termenung sahaja? Jomlah kita solat berjemaah."

Aiman masih mendiamkan diri, namun pada kali ini, dia mengganguk kepalanya tandanya dia setuju. Usai sahaja Afiq mengambil air wudhuk, dia kejutkan sahabat-sahabat dibiliknya untuk solat subuh.

Setelah semua selesai mengambil air wudhuk lalu mereka melantik Afiq menjadi imam untuk solat subuh itu. Setelah selesai menunaikan kewajipan solat, Aiman menangis. Air matanya mencurahi pipinya itu. Afiq merasa hairan dan binggung melihat tangisan sahabatnya itu.

"Aiman, janganlah menangis. Bertenanglah, cuba engkau bagitahu apa yang jadi?" , soal Afiq. Setelah dipujuk dan ditenangkan oleh Afiq, maka Aiman berhenti menangis. 
"Fiq, Aku punya handphone aku yang dah lama aku guna, dah rosak", Aiman sekali lagi tidak dapat menahan kesedihannya, lalu airmatanya menitis satu persatu.

Afiq tahu, Aiman bukanlah seorang yang kaya, dia seorang yang berjimat cermat. Sudah 
 lama menggunakan telefon pintarnya itu. Telefon pintarnya itu dibeli oleh Aiman sejurus selepas dia mengumpulkan duit hasil dia bekerja separuh masa di stesen minyak hujung minggu. Setelah letih mengumpulkan duit untuk membeli telefon pintarnya itu, akhirnya tercapai. Dia banyak mencari telefon yang sesuai dengan bajet yang telah dikumpulnya. Melihat dan membuat perbandingan dilaman sesawang berkaitan dengan telefon dan gajet seperti www.gsmarena.com ,  tidak lupa menonton di saluran youtube mobile geeks di 
https://www.youtube.com/channel/UCTDiS7u_vh6H44sKvwukXMQ dan pelbagai macam sumber dari internet.


Namun keletihan sahabatnya itu, semuanya berkecai setelah telefon bimbitnya rosak dan musnah dek di masuki air.
Sebagai sahabat rapat, Afiq mempunyai rasa simpati terhadap sahabatnya, lalu di kumpulkan rakan-rakan sekelasnya berkenaan telefon Aiman yang rosak.
Aina, salah seorang kelas Afiq, yang punya rasa cinta yang terpendam pada Aiman, berasa pelik kerana dikumpulkan oleh Afiq beramai-ramai tanpa kehadiran Aiman. Lalu Aina bertanya

"Weh Afiq, kau kumpul kitaorang ni untuk apa hah?", soal Aina dengan nada yang binggung.

"Hah, aku tunggu soalan tu dari korg."jawab Afiq dengan tenang.

"Macam ni, Aiman baru-baru ni handphone dia rosak, jadi aku kesianlah tengok dia. Dia bekerja keras untuk dapatkan telefon pintar tu. Siang malam kerja untuk phone tu. Lagi pun, dia bukannya orang senang. Mak abah dia orang susah. Tambahan pula, ada 8 orang adik beradik dibawah dia. Telefon bimbit di alam universiti ni sudah jadi keperluan, lagi-lagi orang macam Aiman tu. Bermacam-macam program dia terlibat. Apa kata kita kumpul rm 10 untuk Aiman", tambah Afiq.

"Lah yeke fiq. Okay kalau macam tu, bukan rm 10 , aku bagi rm 50," kata Aina.

"Pergh , Aina awat hangpa baik sangat ni, ada hati ke kat si jejaka tu"usik si Awang.

"Awang, kau ni kawan tu tengah susah, takkan nak tengok je kan?", jawab Aina dengan mata yang tajam melihat Awang.

"Ergh, yela-yela, nah Afiq aku bagi rm 10", lalu dihulur Awang rm 10 ke Afiq.

Setelah diberi penjelasan oleh Afiq kepada rakan kelasnya, kutipan derma yang dihulurkan mencapai RM 600. Dia sangat bersyukur dia teringat Hadis yang pernah di dengari sewaktu Kuliah Maghrib di Masjid berdekatan rumahnya yang berbunyi :

Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim)

Setelah mencari handphone yang sesuai dengan bajet yang dikumpul oleh afiq , maka didapati tidak mampu dicapai untuk membeli s4 yang baru untuk sahabat baiknya itu. Namun, spesifikasi yang lebih kurang sama, di dapati dengan jenama tidak kurang hebatnya, ada dijual. Asus zenfone 5, dengan bentuk yang nipis, prosessor yang laju, menjadikan Afiq, tertarik dengan telefon pintar itu, lalu membelinya dengan harga RM 550.

Baki yang disimpannya, untuk membeli kotak hadiah dan kad ucapan. Afiq bermonolog dengan dirinya sendiri.
"Alangkah beruntungnya Aiman, kerana rakan sekelasnya yang baik hati sanggup menolongnya.Sungguh orang yang baik ini, Allah permudahkan urusannya"

--------------------------------------------------

Malam sebelum tidur, hampir sahaja Aiman ingin melelapkan matanya, dengan raut wajahnya yang sedih,di tegur  oleh Afiq,
"Weh, Man lek la dulu. Jangan tidur. Aku ada benda nak cakap ni"
"Ala dah lewat la fiq. Aku takde mood ni", jawab Aiman dengan nada yang sedih.

"Cuba duduk kejap dengan aku kejap, Man. Aku ada benda ni nak bagitahu", pujuk Afiq

"Haih, kau ni macam-macam la fiq. yela yela. Apa dia?", jawab Aiman.


"Nahh, telefon baru untuk kau!", teriak Afiq kepada Aiman.

Aiman terkejut. Dia tidak tahu bagaimana hendak berkata apa. Seolah-olah ditipu.

"Fiq, agak-agak lah nak tipu aku pun. Tahu la aku ni lurus. " sergah Aiman

"Eh taklah Aiman, betul ini semua sumbangan dari rakan sekelas kau, aku hanya kumpulkan je, terima jela pemberian orang ye Man. Syukur pada Allah, kerana Allah menemukan kau dengan rakan sekelas yang baik-baik"kata Afiq

"Ya Allah, aku tak tahu nak cakap apa Afiq. Segala puji bagi Allah yang memiliki segala-segalaNya. aku sangat-sangat bersyukur dapat berkawan dengan korang." lalu dipeluknya Afiq tanda kesyukuran.

Setelah membuka kotak hadiahnya, dia membelek pula telefon pintar yang canggih itu. Perkara pertama yang dibuat oleh Aiman adalah untuk berselfie dengan rakan baiknya Afiq.



-----
Malam setelah seronok mengeksplorasi telefon bimbitnya itu, dia bermonolog dengan dirinya sendiri.
Kata Aiman"Rupanya ada juga kebaikan Allah mentakdirkan telefon rosak. Mungkin Allah ingin aku mengurangkan diri dalam bergantung kepada telefon. Mungkin juga Allah ingin aku sedar, bukanlah hasil aku semata-mata dalam mendapatkan telefon bimbit itu. Mungkin juga Allah ingin aku sedar bahawa rakan-rakan kelas aku adalah rakan-rakan yang patut aku hargai."

Pelbagai kemungkinan yang Aiman nukilkan dalam fikirannya. Namun pada akhirnya, dia sedar bahawa tidaklah Allah mendatangkan suatu ujian tanpa ada hikmah. Dialah memiliki segala-galannya, Lagi Maha Mengetahui.

Pandangan pertamanya telah membutakan hatinya bahawa bukanlah segala-galanya adalah usahanya semata-mata. Usahanya itu perlu dikembalikan kepada Allah dengan bertawakkal setelah berusaha.
Jika seandainya hambaNya telah berusaha, maka keputusan selepas itu adalah milikNya.
yang menjadikan sesuatu baik bukanlah semata-mata kudrat manusia, namun ianya adalah Milik mutlak Allah azza wajalla.


--------------------

Wei, Aiman bangun lah kita dah lewat dah ni"Afiq berusaha mengejutkan Aiman

(bersambung)

Monday, May 2, 2016

Muslim Kritis

Baru-baru ini, segelintir rakyat Malaysia menjadi kecoh dengan isu DZN akan tajuk ceramah beliau yang agak kontroversi. Iaitu “Similarities between Islam and Hinduism”. Hal ini menjadi semakin hangat apabila wakil sesetengah NGO melabel DZN sebagai syaitan dan whatsoever. NGO Islam juga tidak ketinggalan untuk mengeluarkan kenyataan tidak senang hati dengan ceramah DZN yang mana mereka mengatakan ianya akan menggangu ekosistem unik umat islam di Malaysia ini. Haha kelakar bukan?

Sudah usai awak membaca intro dekat atas itu, awak rasa apa yang saya hendak cuba sampaikan? Tekalah hehe. Ekosistem (bak kata Zamihan Mat Zin) masyarakat Malaysia ini sangat terkenal dgn isu-isu sensitiviti baik agama mahupun perkauman dan sebagainya. Tapi buat masa ini saya nak letak ke tepi dahulu isu-isu perkauman. Sekarang saya cuma hendak berbincang sedikit mengenai agama di Malaysia ini. Barangkali dalam masa yang terdekat (saya tidak jamin teman-teman, mungkin esok lusa Allah swt tarik nikmat nyawa saya) kita akan berbincang pula mengenai isu perkauman. ahaa

Okay. Bagaimana jikalau saya mengatakan there’s nothing wrong with atheist? Atau atheism is not the problem? Jujurnya, saya suka bilamana mereka-mereka ini lantang menimbulkan pelbagai persoalan-persoalan dalam agama terutamanya terhadap agama Islam. Dan saya suka juga apabila ada figure-figure agama yang melayan karenah mereka. Dan daripada jawapan agamawan tersebut awak boleh tahu sama ada dia bersifat rahmah ataupun sinis. Saya ingat lagi suatu ketika dahulu seorang pemuda mempersoalkan:

- kalau benar tuhan itu wujud, kenapa dia membiarkan sahaja kejahatan berleluasa?
- Kenapa tuhan memberi nafsu kepada kita sedangkan nafsu itu akan menarik kepada kejahatan?
- Kalau kita berbuat jahat, pasti kita dapat dosa dan akan masuk neraka, tetapi ini adalah disebabkan oleh tuhan yg memberi kita nafsu. Adakah tuhan itu zalim?

Dan pelbagai lagi persoalan-persoalan yang mungkin dari perspektif kita “muslim yg soleh” ini, ianya sangat berdosa dan sangat tidak logik untuk dibangkitkan dan dibincangkan. Ya betul itu.

                Saya rasa, umum mengetahui akan bagaimana reaksi kebanyakkan umat Islam Malaysia apabila berdepan dengan persoalan-persoalan mamat atheist ini. Mereka akan respons dengan ayat-ayat skema jawapan yang sangat cliché. Sebagai contoh:

- bertaubatlah saudara, kembalilah ke pangkal jalan
- jangan persoalkan benda ini
- siaplah kau nanti kau akan terseksa di neraka jahanam

                Bro, adakah dengan memberikan respons-respons bijak sebegini kita berharap dapat mengembalikan sang atheist kepada jalan yang lurus? Adakah dengan terlebih dahulu menghukum mereka masuk neraka dan sebagainya akan dapat membuka hati mereka kepada hidayah Allah swt? Engkau silap bro. Sepatutnya golongan inilah yang kita ajak duduk semeja dan berbincang berkenaan dengan kemusykilan-kemusykilan mereka. Kita takut apa? Pegangan kita ialah Quran dan Sunnah. Dan saya percaya Quran itu adalah satu kitab yang haq, yang sarat dengan pengajaran untuk umat manusia dan ianya tidak akan goyah walau sehebat mana pun hujah untuk merosakkannya.  Masakan hujah atheist boleh mengalahkan isi-isi Quran?

                Okay, mungkin awak tidak faham apa yang saya maksudkan dekat perenggan atas itu. Poin saya, kalian layanlah apa sahaja persoalan kritis berkenaan dengan agama. Jawablah dengan ilmiah apa yang awak tahu dan jangan hendak terus menghukum mereka masuk neraka hanya semata-mata awak tidak boleh mematahkan hujah dan permainan golongan atheist ini. Mentang-mentanglah neraka itu awak yang cipta dengan tangan sendiri, heheh

                Kenapa saya berkata sedemikian? Ianya adalah disebabkan budaya beragama di Malaysia yang sangat kering dan kelakar. Ritual beribadah kita buat sebab sudah menjadi kebiasaan. Apabila orang gantung salib dekat gereja, kita pula tiba-tiba rasa gentar dan lemah aqidah. Tentang isu non-muslim hendak menggunakan kalimah Allah swt, kita jadi panas punggung mengatakan Allah swt itu milik orang Islam sahaja. Apabila ada orang perli Islam, sang keyboard warriors tampil bagai cendawan selepas hujan lalu marah sekaligus berubah menjadi super saiya level 4 sambil menaip di muka buku hendak pergi bunuh/tampar/cari sang mulut celupar. Adakah ini yang dikatakan sebagai Islam? Essence beragama pun kita tidak faham. No wonder lah kita tidak boleh mematahkan persoalan-persoalan asas org atheist itu. Dan golongan ini semakin jauh dari Islam disebabkan tangan dan lidah kita sendiri yang tumpul dan berkarat. Dan juga disebabkan awak yang berhujah macam si Harussani mufti Perak itu.

                “Islam rahmatan lil ‘alamin”

                Kefahaman dalam beragama itu sangat penting. Sedarlah teman-teman, kita bukan lagi hidup di zaman sirr baginda nabi Muhammad saw. Nikmat Islam ini adalah untuk semua. Ajaklah sesiapa pun kepada Islam. Dan awak sendiri kenalah faham akan agama ini. Setiap ibadah kita, gaya hidup dan adab-adab semuanya telah digariskan lengkap dengan tujuannya sekali. Janganlah main ikut-ikut sahaja tanpa adanya roh dalam setiap perlaksanaan. Tambahan lagi, buat masa sekarang, budaya taksub jemaah/ustaz-ustaz/sheikh-sheikh atau fahaman yang pelik sudah sangat membarah dan bernanah di Malaysia ini. Apabila kedengaran sahaja suara-suara yang mengatakan sesuatu yang berkenaan dengan agama yang terasa pelik dan luar dari kebiasaan (baca: adat), kita terus gelar dia sebagai wahabi atau kafir dan pelbagai lagi label-label ekstrimism yang masyuk. Huh, tidak cukup lagi dengan KPOP yang mengarut ini, apa kita hendak jadikan Zamihan Mat Zin itu sebagai idola jugakah?

“tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan utk beribadah kpd Aku”

                Matlamat hidup di dunia ini 1 sahaja bro. Adalah untuk mencari redha Allah swt. Adakah dengan menolak orang semakin jauh dari agama, mengkafir dan mengwahabikan sebahagian yang lain tersebut akan dapat meraih keredhaan-Nya? Bro, sekarang ini sudah akhir zaman bro. Pejam celik, pejam celik esok sudah nak kiamat. Pada masa inilah kita sangat memerlukan fahaman agama yang mantap, yang sebetulnya kerana inilah yang akan menyelamatkan kita nanti dihadapan Allah swt. Pada masa ini jugalah dugaan beragama menjadi sangat besar dan menggoyahkan pendirian.

Quran yang diturunkan itu adalah untuk membanteras budaya taksub dan ikut-mengikuti yang diamalkan oleh kaum-kaum terdahulu. Awak tahu kenapa mereka menyembah berhala? Suatu ketika dahulu, baginda nabi selalu mempersoalkan (persoalan intelektual) kepada mereka kenapa hendak menyembah berhala yang mereka ciptakan dengan tangan sendiri dan langsung tiada dapat memberikan faedah kepada mereka walau sedikit pun? Tahu tidak apa jawapan mereka? Jawapannya, inilah amalan nenek moyang mereka yang terdahulu. Ianya berakar lagi dari budaya keturunan, lantas mereka hanya mengikut sahaja. Nah, bagaimana dengan kita pada zaman sekarang? Apabila ditanya kenapa perlu sembah Allah, awak  hendak bagi jawapan apa? Tolong jangan bagi saya jawapan genius KBKK seperti lahir sahaja sudah Islam atau sebab bangsa melayu memang bertuhankan Allah swt. Jadi kalau difikirkan balik, apa beza kita dengan kaum jahiliyyah terdahulu dalam budaya ikut-mengikuti? Saya perlu awak semua faham kenapa kita sembah Allah yang Maha Esa dan apa tujuan sebenar kita di dunia yang fana ini.

So, saya menyeru kepada golongan-golongan atheist di luar sana, keluarlah kamu! Munculkanlah diri dan dengan lantangnya ketuklah umat Islam Malaysia ini akan betapa kering dan longgarnya fahaman agama mereka. Betapa dangkalnya mereka memahami Islam itu hanya atas sejadah, di dalam masjid, jaga kalimah 'Allah' dan potong tangan orang sahaja. Jiran sebelah rumah pun tidak bertegur sapa lepas itu ada hati nak kasihan dekat video online tentang homeless guy dekat Amerika. Haha ini memang sangat kelakar. 


Sang budiman untuk orang sekelilingnya!

Tradisi keilmuan tidak pernah hilang dari tangan-tangan orang yang mencari kebenaran.

dan kebenaran pula akan mendorong  kita untuk bertindak betul, memperbaiki keadaan sekeliling, seterusnya memberi manfaat sama ada ianya bersifat makro mahupun mikro.

Sekiranya kita menyebut tentang manfaat pula, kita tidak akan lari dalam memperkatakan ilmuan-ilmuan, pemikir-pemikir Islam yang pernah muncul suatu ketika dahulu. Misalnya As-Syahid Imam Hassan Al-Banna (1906-1949)yang telah mengasaskan gerakan Ikhwanul Muslimin sehingga hari ini lebih 87 tahun menyebar sehingga dari 70 buah negara seluruh dunia. As-Syahid  Syed Qutub (1906-1966), dimana penulisannya Tafsir fi zilal Quran , telah dijadikan bahan untuk ditelaah, dikaji, mahupun dijadikan panduan oleh sebahagian umat Islam didunia. Muhammad Iqbal (1877-1938) dimana seorang filasuf dan juga seorang penyair, dimana penulisannya telah disebar luas, terutama tentang falsafah.
 Ilmuan mahupun pemikir terdahulu seumpama al-Ghazali, ibn Rushd, Hajar al-Asqolani, Ibn Tamiyyah dan sebagainya.

Gaya pemikiran mereka, idea-idea mereka sesetengah darinya telah pun diabadikan dalam penulisannya. Khazanah yang diberikan inilah yang membawa menampakkan ketinggian Islam.
Melihat kepada kemunculan keunggulan keilmuan Islam, saya meminjam kata-kata seorang penulis Mohamad Kamil Hj Ab. Majid,
"Cahaya kecemerlangan pemikir Islam tidak pernah malap, justeru timbul fenomena menandakan wujudnya kemalapan akan muncul segera mereka yang menerangi kembali cahaya yang semakin suram itu.." 

 Sesetengah darinya dijelmakan dalam bentuk amal dan bukan semata-mata dalam bentuk penulisan. Sungguh, ilmu itu seharusnya dijelmakan dalam bentuk amal, disemadikan bersama orang sekeliling, agar kebaikan yang disemai bersama kerana bukankah kita ingin ke syurga bersama?

Kemunculan seorang tokoh pada suatu zaman, nilainya barangkali lebih berharga dari manusia yang biasa-biasa sahaja. Lantaran jasa yang ditaburnya semasa hayatnya. Maka jelaslah lagi terang bersuluh, bahasawanya orang-orang terdahulu,  namanya diukir didalam sejarah adalah disebabkan ilmu yang bermanfaat disebarluaskan kepada orang ramai, dijadikan pedoman untuk mengatur kehidupan bersama. Namun, satu perkara yang harus kita renungi ialah boleh jadi suatu ilmu yang bermanfaat tidaklah memberi kesan kepada diri seseorang mahupun kepada orang sekeliling, lantaran ilmu itu digunakan untuk kepentingan diri, ataupun tujuan-tujuan yang tertentu.

 Kata pujangga Hamka


"Banyak guru, doktor, hakim, insinyur (jurutera); banyak orang yang bukunya satu gudang dan diplomanya segulung besar, tiba dalam masyarakat menjadi "MATI" sebab dia bukan orang masyarakat. Hidupnya hanya mementingkan dirinya diplomanya hanya untuk mencari harta, hatinya sudah seperti batu, tidak mempunyai cita-cita, lain daripada kesenangan dirinya. Peribadinya tidak kuat. Dia bergerak bukan kerana dorongan jiwa dan akal. Kepandaiannya itu kerap kali menimbulkan takutnya. Bukan menimbulkan keberaniannya memasuki lapangan hidup!"
Dorongan orang terdahulu disebabkan ingin menjadi orang yang bermanfaat, mengejar ganjaran Tuhan, ikhlas keranaNya. Segala kebaikan berada ditanganNya. Firman Allah yang bermaksud,

Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (3:26)


Meyakini bahawasanya kita hidup sebagai hambaNya, dan hidup sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi agar kebaikannya diraih bersama. Ganjarannya Tuhan sahaja yang balas. Bukan kerana nama, mahupun harta dan pangkat.  Semoga apa-apa yang kita lakukan, kita lakukan dengan cara yang terbaik, dan Tuhan menerima amalan yang kita lakukan.