Wednesday, May 4, 2016

Pandangan pertama (part 2)


Setelah membersihkan badannya dengan air wudhuk, namun Aiman terlupa dimanakah dia meletakkan telefon pintar S4 nya itu. Setelah lama mundar mandir dibiliknya sendiri, dia masuk kembali ke bilik airnya itu, lekas terjumpa telefonnya itu di singki bilik air. 
Cepat-cepat Aiman menggapai tangannya untuk mengambil telefon kesayangannya itu. Dia begitu hampa melihat telefonnya itu direndam dalam singki bilik airnya itu. Mukanya pucat setelah melihat S4 , tidak lagi menyala dan tidak lagi memberi apa-apa tindak balas.Hatinya remuk. 


Hampir sahaja dia meninggalkan solat subuh. Afiq, yang baru sahaja bangkit dari tidur, ingin ke bilik air lalu ternampak Aiman, dia menyapa kawannya itu, "Man, engkau dah solat?"

Aiman terdiam tidak membalas sapaan sahabatnya itu. Aiman bertanya sekali lagi," Man, engkau dah solat? Kenapa kau termenung sahaja? Jomlah kita solat berjemaah."

Aiman masih mendiamkan diri, namun pada kali ini, dia mengganguk kepalanya tandanya dia setuju. Usai sahaja Afiq mengambil air wudhuk, dia kejutkan sahabat-sahabat dibiliknya untuk solat subuh.

Setelah semua selesai mengambil air wudhuk lalu mereka melantik Afiq menjadi imam untuk solat subuh itu. Setelah selesai menunaikan kewajipan solat, Aiman menangis. Air matanya mencurahi pipinya itu. Afiq merasa hairan dan binggung melihat tangisan sahabatnya itu.

"Aiman, janganlah menangis. Bertenanglah, cuba engkau bagitahu apa yang jadi?" , soal Afiq. Setelah dipujuk dan ditenangkan oleh Afiq, maka Aiman berhenti menangis. 
"Fiq, Aku punya handphone aku yang dah lama aku guna, dah rosak", Aiman sekali lagi tidak dapat menahan kesedihannya, lalu airmatanya menitis satu persatu.

Afiq tahu, Aiman bukanlah seorang yang kaya, dia seorang yang berjimat cermat. Sudah 
 lama menggunakan telefon pintarnya itu. Telefon pintarnya itu dibeli oleh Aiman sejurus selepas dia mengumpulkan duit hasil dia bekerja separuh masa di stesen minyak hujung minggu. Setelah letih mengumpulkan duit untuk membeli telefon pintarnya itu, akhirnya tercapai. Dia banyak mencari telefon yang sesuai dengan bajet yang telah dikumpulnya. Melihat dan membuat perbandingan dilaman sesawang berkaitan dengan telefon dan gajet seperti www.gsmarena.com ,  tidak lupa menonton di saluran youtube mobile geeks di 
https://www.youtube.com/channel/UCTDiS7u_vh6H44sKvwukXMQ dan pelbagai macam sumber dari internet.


Namun keletihan sahabatnya itu, semuanya berkecai setelah telefon bimbitnya rosak dan musnah dek di masuki air.
Sebagai sahabat rapat, Afiq mempunyai rasa simpati terhadap sahabatnya, lalu di kumpulkan rakan-rakan sekelasnya berkenaan telefon Aiman yang rosak.
Aina, salah seorang kelas Afiq, yang punya rasa cinta yang terpendam pada Aiman, berasa pelik kerana dikumpulkan oleh Afiq beramai-ramai tanpa kehadiran Aiman. Lalu Aina bertanya

"Weh Afiq, kau kumpul kitaorang ni untuk apa hah?", soal Aina dengan nada yang binggung.

"Hah, aku tunggu soalan tu dari korg."jawab Afiq dengan tenang.

"Macam ni, Aiman baru-baru ni handphone dia rosak, jadi aku kesianlah tengok dia. Dia bekerja keras untuk dapatkan telefon pintar tu. Siang malam kerja untuk phone tu. Lagi pun, dia bukannya orang senang. Mak abah dia orang susah. Tambahan pula, ada 8 orang adik beradik dibawah dia. Telefon bimbit di alam universiti ni sudah jadi keperluan, lagi-lagi orang macam Aiman tu. Bermacam-macam program dia terlibat. Apa kata kita kumpul rm 10 untuk Aiman", tambah Afiq.

"Lah yeke fiq. Okay kalau macam tu, bukan rm 10 , aku bagi rm 50," kata Aina.

"Pergh , Aina awat hangpa baik sangat ni, ada hati ke kat si jejaka tu"usik si Awang.

"Awang, kau ni kawan tu tengah susah, takkan nak tengok je kan?", jawab Aina dengan mata yang tajam melihat Awang.

"Ergh, yela-yela, nah Afiq aku bagi rm 10", lalu dihulur Awang rm 10 ke Afiq.

Setelah diberi penjelasan oleh Afiq kepada rakan kelasnya, kutipan derma yang dihulurkan mencapai RM 600. Dia sangat bersyukur dia teringat Hadis yang pernah di dengari sewaktu Kuliah Maghrib di Masjid berdekatan rumahnya yang berbunyi :

Dari Abu Hurairah ra, Nabi SAW, bersabda: “Barang siapa yang melepaskan satu kesusahan seorang mukmin, pasti Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan pada hari kiamat. Barang siapa yang menjadikan mudah urusan orang lain, pasti Allah akan memudahkannya di dunia dan di akhirat. Barang siapa yang menutupi aib seorang muslim, pasti Allah akan menutupi aibnya di dunia dan di akhirat. Allah senantiasa menolong hamba Nya selama hamba Nya itu suka menolong saudaranya”. (HR. Muslim)

Setelah mencari handphone yang sesuai dengan bajet yang dikumpul oleh afiq , maka didapati tidak mampu dicapai untuk membeli s4 yang baru untuk sahabat baiknya itu. Namun, spesifikasi yang lebih kurang sama, di dapati dengan jenama tidak kurang hebatnya, ada dijual. Asus zenfone 5, dengan bentuk yang nipis, prosessor yang laju, menjadikan Afiq, tertarik dengan telefon pintar itu, lalu membelinya dengan harga RM 550.

Baki yang disimpannya, untuk membeli kotak hadiah dan kad ucapan. Afiq bermonolog dengan dirinya sendiri.
"Alangkah beruntungnya Aiman, kerana rakan sekelasnya yang baik hati sanggup menolongnya.Sungguh orang yang baik ini, Allah permudahkan urusannya"

--------------------------------------------------

Malam sebelum tidur, hampir sahaja Aiman ingin melelapkan matanya, dengan raut wajahnya yang sedih,di tegur  oleh Afiq,
"Weh, Man lek la dulu. Jangan tidur. Aku ada benda nak cakap ni"
"Ala dah lewat la fiq. Aku takde mood ni", jawab Aiman dengan nada yang sedih.

"Cuba duduk kejap dengan aku kejap, Man. Aku ada benda ni nak bagitahu", pujuk Afiq

"Haih, kau ni macam-macam la fiq. yela yela. Apa dia?", jawab Aiman.


"Nahh, telefon baru untuk kau!", teriak Afiq kepada Aiman.

Aiman terkejut. Dia tidak tahu bagaimana hendak berkata apa. Seolah-olah ditipu.

"Fiq, agak-agak lah nak tipu aku pun. Tahu la aku ni lurus. " sergah Aiman

"Eh taklah Aiman, betul ini semua sumbangan dari rakan sekelas kau, aku hanya kumpulkan je, terima jela pemberian orang ye Man. Syukur pada Allah, kerana Allah menemukan kau dengan rakan sekelas yang baik-baik"kata Afiq

"Ya Allah, aku tak tahu nak cakap apa Afiq. Segala puji bagi Allah yang memiliki segala-segalaNya. aku sangat-sangat bersyukur dapat berkawan dengan korang." lalu dipeluknya Afiq tanda kesyukuran.

Setelah membuka kotak hadiahnya, dia membelek pula telefon pintar yang canggih itu. Perkara pertama yang dibuat oleh Aiman adalah untuk berselfie dengan rakan baiknya Afiq.



-----
Malam setelah seronok mengeksplorasi telefon bimbitnya itu, dia bermonolog dengan dirinya sendiri.
Kata Aiman"Rupanya ada juga kebaikan Allah mentakdirkan telefon rosak. Mungkin Allah ingin aku mengurangkan diri dalam bergantung kepada telefon. Mungkin juga Allah ingin aku sedar, bukanlah hasil aku semata-mata dalam mendapatkan telefon bimbit itu. Mungkin juga Allah ingin aku sedar bahawa rakan-rakan kelas aku adalah rakan-rakan yang patut aku hargai."

Pelbagai kemungkinan yang Aiman nukilkan dalam fikirannya. Namun pada akhirnya, dia sedar bahawa tidaklah Allah mendatangkan suatu ujian tanpa ada hikmah. Dialah memiliki segala-galannya, Lagi Maha Mengetahui.

Pandangan pertamanya telah membutakan hatinya bahawa bukanlah segala-galanya adalah usahanya semata-mata. Usahanya itu perlu dikembalikan kepada Allah dengan bertawakkal setelah berusaha.
Jika seandainya hambaNya telah berusaha, maka keputusan selepas itu adalah milikNya.
yang menjadikan sesuatu baik bukanlah semata-mata kudrat manusia, namun ianya adalah Milik mutlak Allah azza wajalla.


--------------------

Wei, Aiman bangun lah kita dah lewat dah ni"Afiq berusaha mengejutkan Aiman

(bersambung)

Monday, May 2, 2016

Muslim Kritis

Baru-baru ini, segelintir rakyat Malaysia menjadi kecoh dengan isu DZN akan tajuk ceramah beliau yang agak kontroversi. Iaitu “Similarities between Islam and Hinduism”. Hal ini menjadi semakin hangat apabila wakil sesetengah NGO melabel DZN sebagai syaitan dan whatsoever. NGO Islam juga tidak ketinggalan untuk mengeluarkan kenyataan tidak senang hati dengan ceramah DZN yang mana mereka mengatakan ianya akan menggangu ekosistem unik umat islam di Malaysia ini. Haha kelakar bukan?

Sudah usai awak membaca intro dekat atas itu, awak rasa apa yang saya hendak cuba sampaikan? Tekalah hehe. Ekosistem (bak kata Zamihan Mat Zin) masyarakat Malaysia ini sangat terkenal dgn isu-isu sensitiviti baik agama mahupun perkauman dan sebagainya. Tapi buat masa ini saya nak letak ke tepi dahulu isu-isu perkauman. Sekarang saya cuma hendak berbincang sedikit mengenai agama di Malaysia ini. Barangkali dalam masa yang terdekat (saya tidak jamin teman-teman, mungkin esok lusa Allah swt tarik nikmat nyawa saya) kita akan berbincang pula mengenai isu perkauman. ahaa

Okay. Bagaimana jikalau saya mengatakan there’s nothing wrong with atheist? Atau atheism is not the problem? Jujurnya, saya suka bilamana mereka-mereka ini lantang menimbulkan pelbagai persoalan-persoalan dalam agama terutamanya terhadap agama Islam. Dan saya suka juga apabila ada figure-figure agama yang melayan karenah mereka. Dan daripada jawapan agamawan tersebut awak boleh tahu sama ada dia bersifat rahmah ataupun sinis. Saya ingat lagi suatu ketika dahulu seorang pemuda mempersoalkan:

- kalau benar tuhan itu wujud, kenapa dia membiarkan sahaja kejahatan berleluasa?
- Kenapa tuhan memberi nafsu kepada kita sedangkan nafsu itu akan menarik kepada kejahatan?
- Kalau kita berbuat jahat, pasti kita dapat dosa dan akan masuk neraka, tetapi ini adalah disebabkan oleh tuhan yg memberi kita nafsu. Adakah tuhan itu zalim?

Dan pelbagai lagi persoalan-persoalan yang mungkin dari perspektif kita “muslim yg soleh” ini, ianya sangat berdosa dan sangat tidak logik untuk dibangkitkan dan dibincangkan. Ya betul itu.

                Saya rasa, umum mengetahui akan bagaimana reaksi kebanyakkan umat Islam Malaysia apabila berdepan dengan persoalan-persoalan mamat atheist ini. Mereka akan respons dengan ayat-ayat skema jawapan yang sangat cliché. Sebagai contoh:

- bertaubatlah saudara, kembalilah ke pangkal jalan
- jangan persoalkan benda ini
- siaplah kau nanti kau akan terseksa di neraka jahanam

                Bro, adakah dengan memberikan respons-respons bijak sebegini kita berharap dapat mengembalikan sang atheist kepada jalan yang lurus? Adakah dengan terlebih dahulu menghukum mereka masuk neraka dan sebagainya akan dapat membuka hati mereka kepada hidayah Allah swt? Engkau silap bro. Sepatutnya golongan inilah yang kita ajak duduk semeja dan berbincang berkenaan dengan kemusykilan-kemusykilan mereka. Kita takut apa? Pegangan kita ialah Quran dan Sunnah. Dan saya percaya Quran itu adalah satu kitab yang haq, yang sarat dengan pengajaran untuk umat manusia dan ianya tidak akan goyah walau sehebat mana pun hujah untuk merosakkannya.  Masakan hujah atheist boleh mengalahkan isi-isi Quran?

                Okay, mungkin awak tidak faham apa yang saya maksudkan dekat perenggan atas itu. Poin saya, kalian layanlah apa sahaja persoalan kritis berkenaan dengan agama. Jawablah dengan ilmiah apa yang awak tahu dan jangan hendak terus menghukum mereka masuk neraka hanya semata-mata awak tidak boleh mematahkan hujah dan permainan golongan atheist ini. Mentang-mentanglah neraka itu awak yang cipta dengan tangan sendiri, heheh

                Kenapa saya berkata sedemikian? Ianya adalah disebabkan budaya beragama di Malaysia yang sangat kering dan kelakar. Ritual beribadah kita buat sebab sudah menjadi kebiasaan. Apabila orang gantung salib dekat gereja, kita pula tiba-tiba rasa gentar dan lemah aqidah. Tentang isu non-muslim hendak menggunakan kalimah Allah swt, kita jadi panas punggung mengatakan Allah swt itu milik orang Islam sahaja. Apabila ada orang perli Islam, sang keyboard warriors tampil bagai cendawan selepas hujan lalu marah sekaligus berubah menjadi super saiya level 4 sambil menaip di muka buku hendak pergi bunuh/tampar/cari sang mulut celupar. Adakah ini yang dikatakan sebagai Islam? Essence beragama pun kita tidak faham. No wonder lah kita tidak boleh mematahkan persoalan-persoalan asas org atheist itu. Dan golongan ini semakin jauh dari Islam disebabkan tangan dan lidah kita sendiri yang tumpul dan berkarat. Dan juga disebabkan awak yang berhujah macam si Harussani mufti Perak itu.

                “Islam rahmatan lil ‘alamin”

                Kefahaman dalam beragama itu sangat penting. Sedarlah teman-teman, kita bukan lagi hidup di zaman sirr baginda nabi Muhammad saw. Nikmat Islam ini adalah untuk semua. Ajaklah sesiapa pun kepada Islam. Dan awak sendiri kenalah faham akan agama ini. Setiap ibadah kita, gaya hidup dan adab-adab semuanya telah digariskan lengkap dengan tujuannya sekali. Janganlah main ikut-ikut sahaja tanpa adanya roh dalam setiap perlaksanaan. Tambahan lagi, buat masa sekarang, budaya taksub jemaah/ustaz-ustaz/sheikh-sheikh atau fahaman yang pelik sudah sangat membarah dan bernanah di Malaysia ini. Apabila kedengaran sahaja suara-suara yang mengatakan sesuatu yang berkenaan dengan agama yang terasa pelik dan luar dari kebiasaan (baca: adat), kita terus gelar dia sebagai wahabi atau kafir dan pelbagai lagi label-label ekstrimism yang masyuk. Huh, tidak cukup lagi dengan KPOP yang mengarut ini, apa kita hendak jadikan Zamihan Mat Zin itu sebagai idola jugakah?

“tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan utk beribadah kpd Aku”

                Matlamat hidup di dunia ini 1 sahaja bro. Adalah untuk mencari redha Allah swt. Adakah dengan menolak orang semakin jauh dari agama, mengkafir dan mengwahabikan sebahagian yang lain tersebut akan dapat meraih keredhaan-Nya? Bro, sekarang ini sudah akhir zaman bro. Pejam celik, pejam celik esok sudah nak kiamat. Pada masa inilah kita sangat memerlukan fahaman agama yang mantap, yang sebetulnya kerana inilah yang akan menyelamatkan kita nanti dihadapan Allah swt. Pada masa ini jugalah dugaan beragama menjadi sangat besar dan menggoyahkan pendirian.

Quran yang diturunkan itu adalah untuk membanteras budaya taksub dan ikut-mengikuti yang diamalkan oleh kaum-kaum terdahulu. Awak tahu kenapa mereka menyembah berhala? Suatu ketika dahulu, baginda nabi selalu mempersoalkan (persoalan intelektual) kepada mereka kenapa hendak menyembah berhala yang mereka ciptakan dengan tangan sendiri dan langsung tiada dapat memberikan faedah kepada mereka walau sedikit pun? Tahu tidak apa jawapan mereka? Jawapannya, inilah amalan nenek moyang mereka yang terdahulu. Ianya berakar lagi dari budaya keturunan, lantas mereka hanya mengikut sahaja. Nah, bagaimana dengan kita pada zaman sekarang? Apabila ditanya kenapa perlu sembah Allah, awak  hendak bagi jawapan apa? Tolong jangan bagi saya jawapan genius KBKK seperti lahir sahaja sudah Islam atau sebab bangsa melayu memang bertuhankan Allah swt. Jadi kalau difikirkan balik, apa beza kita dengan kaum jahiliyyah terdahulu dalam budaya ikut-mengikuti? Saya perlu awak semua faham kenapa kita sembah Allah yang Maha Esa dan apa tujuan sebenar kita di dunia yang fana ini.

So, saya menyeru kepada golongan-golongan atheist di luar sana, keluarlah kamu! Munculkanlah diri dan dengan lantangnya ketuklah umat Islam Malaysia ini akan betapa kering dan longgarnya fahaman agama mereka. Betapa dangkalnya mereka memahami Islam itu hanya atas sejadah, di dalam masjid, jaga kalimah 'Allah' dan potong tangan orang sahaja. Jiran sebelah rumah pun tidak bertegur sapa lepas itu ada hati nak kasihan dekat video online tentang homeless guy dekat Amerika. Haha ini memang sangat kelakar. 


Sang budiman untuk orang sekelilingnya!

Tradisi keilmuan tidak pernah hilang dari tangan-tangan orang yang mencari kebenaran.

dan kebenaran pula akan mendorong  kita untuk bertindak betul, memperbaiki keadaan sekeliling, seterusnya memberi manfaat sama ada ianya bersifat makro mahupun mikro.

Sekiranya kita menyebut tentang manfaat pula, kita tidak akan lari dalam memperkatakan ilmuan-ilmuan, pemikir-pemikir Islam yang pernah muncul suatu ketika dahulu. Misalnya As-Syahid Imam Hassan Al-Banna (1906-1949)yang telah mengasaskan gerakan Ikhwanul Muslimin sehingga hari ini lebih 87 tahun menyebar sehingga dari 70 buah negara seluruh dunia. As-Syahid  Syed Qutub (1906-1966), dimana penulisannya Tafsir fi zilal Quran , telah dijadikan bahan untuk ditelaah, dikaji, mahupun dijadikan panduan oleh sebahagian umat Islam didunia. Muhammad Iqbal (1877-1938) dimana seorang filasuf dan juga seorang penyair, dimana penulisannya telah disebar luas, terutama tentang falsafah.
 Ilmuan mahupun pemikir terdahulu seumpama al-Ghazali, ibn Rushd, Hajar al-Asqolani, Ibn Tamiyyah dan sebagainya.

Gaya pemikiran mereka, idea-idea mereka sesetengah darinya telah pun diabadikan dalam penulisannya. Khazanah yang diberikan inilah yang membawa menampakkan ketinggian Islam.
Melihat kepada kemunculan keunggulan keilmuan Islam, saya meminjam kata-kata seorang penulis Mohamad Kamil Hj Ab. Majid,
"Cahaya kecemerlangan pemikir Islam tidak pernah malap, justeru timbul fenomena menandakan wujudnya kemalapan akan muncul segera mereka yang menerangi kembali cahaya yang semakin suram itu.." 

 Sesetengah darinya dijelmakan dalam bentuk amal dan bukan semata-mata dalam bentuk penulisan. Sungguh, ilmu itu seharusnya dijelmakan dalam bentuk amal, disemadikan bersama orang sekeliling, agar kebaikan yang disemai bersama kerana bukankah kita ingin ke syurga bersama?

Kemunculan seorang tokoh pada suatu zaman, nilainya barangkali lebih berharga dari manusia yang biasa-biasa sahaja. Lantaran jasa yang ditaburnya semasa hayatnya. Maka jelaslah lagi terang bersuluh, bahasawanya orang-orang terdahulu,  namanya diukir didalam sejarah adalah disebabkan ilmu yang bermanfaat disebarluaskan kepada orang ramai, dijadikan pedoman untuk mengatur kehidupan bersama. Namun, satu perkara yang harus kita renungi ialah boleh jadi suatu ilmu yang bermanfaat tidaklah memberi kesan kepada diri seseorang mahupun kepada orang sekeliling, lantaran ilmu itu digunakan untuk kepentingan diri, ataupun tujuan-tujuan yang tertentu.

 Kata pujangga Hamka


"Banyak guru, doktor, hakim, insinyur (jurutera); banyak orang yang bukunya satu gudang dan diplomanya segulung besar, tiba dalam masyarakat menjadi "MATI" sebab dia bukan orang masyarakat. Hidupnya hanya mementingkan dirinya diplomanya hanya untuk mencari harta, hatinya sudah seperti batu, tidak mempunyai cita-cita, lain daripada kesenangan dirinya. Peribadinya tidak kuat. Dia bergerak bukan kerana dorongan jiwa dan akal. Kepandaiannya itu kerap kali menimbulkan takutnya. Bukan menimbulkan keberaniannya memasuki lapangan hidup!"
Dorongan orang terdahulu disebabkan ingin menjadi orang yang bermanfaat, mengejar ganjaran Tuhan, ikhlas keranaNya. Segala kebaikan berada ditanganNya. Firman Allah yang bermaksud,

Katakanlah: "Wahai Tuhan Yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkaulah segala kebajikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu. (3:26)


Meyakini bahawasanya kita hidup sebagai hambaNya, dan hidup sebagai khalifah untuk memakmurkan bumi agar kebaikannya diraih bersama. Ganjarannya Tuhan sahaja yang balas. Bukan kerana nama, mahupun harta dan pangkat.  Semoga apa-apa yang kita lakukan, kita lakukan dengan cara yang terbaik, dan Tuhan menerima amalan yang kita lakukan.


Saturday, April 30, 2016

Pesan-Pesan Buya Hamka (2)



KETIKA PINTU RUMAHKU DIKETUK OLEH KEMISKINAN, AKU BUKA JENDELA AKU LOMPAT KELUAR.


Pak Hanif dalam ceritanya ketika saya pertama kali menjejakkan kaki di kampung kelahiran Buya iaitu Danau Maninjau berkata apa yang dimaksudkan dengan ayat itu ialah kalau datang kemiskinan dalam hidup, usir dia atau tinggalkan dia. Itulah apa yg diberitahu Buya kepadaku, sambung Pak Hanif. Maaf saya kurang ingat apa hubungan Pak Hanif sama Buya Hamka cuma yang saya pasti Pak Hanif merupakan penjaga rumah kelahiran Buya atau lebih dikenali sekarang dengan Muzium Kelahiran Buya Hamka. Ada empat jenis kemiskinan yang Buya Hamka jelaskan di dalam karya beliau.

1- Kemiskinan yang pertama ialah Kemiskinan Ilmu
Kita sebagai seorang manusia dilebihkan daripada makhluk lain ialah akalnya. Setiap perkara itu ada makanannya. Sabar makanannya redha. Makanan akal ini ialah ilmu. Orang yang beriman tanpa didasari ilmu, imannya itu tidak benar. Mana mungkin seseorang itu beribadat tanpa ada ilmu dengan ibadatnya itu. Seseorang yang solat tanpa ilmu itu dia tidak akan pernah menjemput khusyuk. Dia berpuasa, dia tidak tahu apa maksud puasa, kenapa berlapar, lapar itu juga tiada ertinya. Ilmu itu landasan keimanan. Adanya ilmu itu baru kita akan masuk kepada taqwa. Beriman tanpa berakal itu sangat bahaya, agama Islam ini bukan agama mengikut, ianya memerlukan kefahaman, faham itu salurannya akal maka akan sampai tahap beriman dan beramal.

2- Kemiskinan yang kedua ialah Kemiskinan Iman.
Kita pergi hospital melihat orang diberi oksigen, ketika mahu keluar dari hospital pasti biayanya sangat mahal. Sejak kita dilahirkan oleh ibunda tercinta kita terus menghirup oksigen Allah tanpa henti sampailah ketika ini, pernah membayarnya? pergi hospital membayar tetapi kenapa ini kita tidak membayarnya? pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana kita membayarnya? nah, kita membayarnya dengan ketaatan beribadat kepada Allah dan kepatuhan kepada perintah Allah, itulah bayarannya, sangat mahal, hanya yang ada iman di dalam hatinya sahaja bisa membayarnya. Iman yang mantap akan lahir melalui pemahaman yang mantapa tentang agama. Tidak mengenal bagaimana mahu mencinta.

3- Kemiskinan Akhlak
Melihat kejadian penciptaan Adam, tidak salah dari 6 jenis tanah, salah satunya ialah tanah lumpur, hitam, kotor dan busuk. Beberapa malaikat disuruh oleh Allah untuk mengambil tanah, bumi menolak dengan berkata aku tidak ingin tubuhku diambil dan dijadikan makhluk yang durhaka kepada Allah. Lantas, Allah menyuruh satu makhluk, ambilnya akan permintaan Allah itu dan bawanya ke syurga. Malaikat ini tidak peduli apa hubungan bumi, diambilnya dan dibawa ke syurga kerana sikapnya yang tegas, tiada perasaan dan kejamnya itu akhirnya dia dijadikan malaikat maut. Sampai di syurga, dari tanah itu tadi Allah jadikan makhluk yang mirip dengan manusia sekarang dan Allah katakan 'aku tiupkan dengan roh ciptaanku'. Setelah itu, Allah kumpulkan seluruh ahli syurga dan berkata 'usjudu li Adam', kesemuanya sujud melainkan iblis tapi di sini kita tidak akan membicarakan tentang iblis tapi tentang malaikat. Malaikat itu diciptakan daripada cahaya, tidak punya dosa, tidak ada kemahuan, kerjanya hanya taat dan patuh kepada Allah, suci sekali. Kenapa yang suci ini sujud kepada Adam yang diciptakan daripada tanah lumpur yang hitam, kotor dan busuk itu? apa maksud di belakangnya itu? maksudnya tidak lain tidak bukan manusia yang bergelar manusia oleh Allah perlu lebih suci daripada malaikat, Allah mengatakan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan beribadat kepadaku. Jadi jika ada manusia yang tidak taat dan patuh itu diragukan manusianya kerana Allah menciptakan manusia itu ialah manusia yang taat. Gagal memahami hakikat seorang hamba itu menyebabkan manusia itu sombong kepada pencipta-Nya.

4- Kemiskinan Harta
Sebenarnya kita ini semuanya kaya tidak ada yang miskin, kaya kan unsurnya bukan material semata-mata. Kita punya mata boleh melihat, kita punya kaki boleh merantau, tangan boleh bekerja. Ada yang buta, ada yang pekak, tiada tangan. Kita ini ada semuanya sempurna. Inilah kekayaan yang tidak boleh dibayar. Apa yang kurang bagi kita ialah bersyukur. Kita diberikan segala kesempurnaan tapi kesyukuran, rasa syukur kepada Allah itu tiada jadi sebenarnya tiada erti apa-apa hidup kita, tanpa kita bersyukur. Syukur itu sebenarnya harta kita bukan material. Buya Hamka berkata berkah rezeki itu akan diraih apabila kita sering solat dhuha, ada yang punya RM 1 juta dan ada yang punya RM 1K, adakah satu juta itu akan merasa cukup, belum tentu. Kurangnya syukur itu menyebabkan kita pada ketika ini miskin harta.

Bersambung. Muhasabah diri.

Saturday, April 23, 2016

Pesan-Pesan Buya Hamka (I)



    Haji Abdul Malik Karim Amrullah atau singkatannya HAMKA bukanlah lagi satu figura yang asing di nusantara ini. Bagi pencinta buku, karya beliau merupakan salah satu yang perlu ada dalam senarai bahan bacaan. Membaca karyanya yang penuh dengan inspirasi dan pengajaran sangat mendidik jiwa menjadi insan yang lebih baik. Bagi diri penulis sendiri, beberapa karya beliau yang telah lengkap bacaan seperti Tasawuf Moden, Pegangan Hidup, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck dan Teroesir sangat memberi inspirasi kepada diri ini. Penulisan beliau sarat dengan kritikan-kritikan sosial, mesej-mesej kemanusiaan dan nilai-nilai seorang manusiawi, bagi penulis perlu dikongsikan kepada khalayak ramai agar manfaat ini dapat disebar luaskan. Dengan inisiatif ini, saya cuba mengumpulkan pesan-pesan yang diambil daripada karya-karya beliau, dan menjadikannya satu bentuk penulisan tersusun.

Orang pintar adalah orang yang merasakan bodoh sehingga tidak pernah berhenti membaca dan belajar.
Begitulah pesan pertama yang saya cuba utarakan. Di sini kita sedar bahawa orang yang berasa pandai kalau tidak membaca lama kelamaan dia akan menjadi bodoh. HAMKA yang hanya pendidikan formalnya sampai kelas dua di sekolah rendahnya boleh mendapatkan tiga gelaran doktor dan dua professor. Jika difikirkan bagaimana boleh begini, mustahil ada yang mahu mengiktiraf seseorang yang latar pendidikannya hanya sebegitu. Membaca, itulah HAMKA, jika kita membaca karya-karya beliau kita akan dapat simpulkan bahawa beliau adalah seorang yang sangat kuat membaca, ada satu peristiwa, dikatakan bahawa ketika beliau di Makkah waktu beribadatnya sangat kurang daripada waktu membacanya, banyak sekali membacanya. Nah dengan hanya membaca, beliau menjadi sangat dihormati di nusantara bahkan dalam dunia ilmu. Benarlah mengapa wahyu pertama yang diturunkan kepada junjungan kita adalah ayat pertama dari surah al-‘alaq iaitu ‘ Bacalah’. Ayuh segeralah kita memperbanyak bacaan tidak kisah apa bahan bacaannya, tetapi bagusnya sebagai seorang Muslim, bacaan Al-quran itu. Baca dan tadabburlah, nescaya kehidupan kita akan menjadi lebih cemerlang.

Orang yang boleh senantiasa berhubungan dengan Allah yang Maha Suci ialah orang yang senantiasa mensucikan dirinya.
Tidak mungkin yang kotor berhubungan dengan yang Maha Suci. Manusia itu sendiri pasti akan menjauhkan diri malah mengelak daripada bertembung dengan seseorang yang kotor diri luarannya. Allah ini Maha Suci tidak cukup untuk manusia itu sekadar bersih luarannya sahaja, dalamnya kotor,hitam sekali kerana itu Rasulullah pernah berkata kepada sahabat sebelum kamu berdoa, bertaubatlah dahulu, sucikan dirimu supaya Allah boleh mengijabahkan doamu. Sahabat, ayuh sama-sama perbanyakkan bertaubat. Taubat ini dapat membersihkan kotoran dalaman kita. Allah telah menyebut di dalam Al-quran :



Orang yang berbahagia ialah orang merintis jalan kehidupannya menuju ke kampong halamannya.
Buya berkata Nabi Adam itu sebelum di bumi berada di mana? Sebelum di bumi di syurga,bukan? Itulah kampong halaman kita, Nabi Adam itu kan nenek moyang kita. Jadi syurga itulah kampong halaman kita, mengapa ramai dari kita sekarang ini seolah-olah tidak mahu pulang ke kampong halamannya. Bukankah setiap kali tiba Syawal perasaan kita gembira sekali hendak pulang ke kampong halaman. Orang yang merintis hidupnya menuju kampong halamannya yang hakiki itu, inilah orang yang berbahagia. Kehidupannya akan dipenuhi dengan hal-hal yang disukai oleh Allah. Untuk merintis kehidupan sebegini, tidak cukup dengan hanya beribadat, bertakwa dan bermunajat kepada Allah. Kita perlu ada rasa rindu kepada Allah. Kerinduan ini yang akan menyebabkan kita dekat sekali dengan Allah. Allah menyebut sekali engkau sebut namaku sepuluh kali aku dating padamu lebih cepat. Bila adanya kerinduan ini, kita tidak akan lagi membicarakan perkara-perkara lain, kita hanya akan membicarakan bagaimana mahu bertemu kekasih kita Allah. Itulah dinamakan tuhibbunAllah, mencintai Allah.

Bersambung. Muhasabah.


Kesatuan dalam kepelbagaian?

Cuba kita perhatikan, kehidupan kita, renungkan saudara-saudara seislam kita, mahupun saudara-saudara kemanusiaan kita. Cukup berbeza dari segi kulit, rupa, bahasa, pemikiran , bukan? Tapi adakah kita akan menjadikan semua perbezaan ini, sebagai satu titik untuk bermusuh-musuhan, bertelingkah?

Sebelum kita terus mencari cari perbezaan untuk kita menghentam sesama sendiri, maka eloklah kiranya jika kita renungkan kalam Allah yang bermaksud,:

"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)

Komentar as-Syahid Syed Qutub dalam kitabnya, Tafsir fi Zillal Quran menyatakan,
"Wahai manusia dari berbagai-bagai bangsa, warna dan suku-suku! Sesungguhnya kamu adalah berasal dari satu keturunan sahaja. Oleh kerana itu janganlah kamu berpecah belah dan bersengketa antara satu sama lain.
Wahai manusia! Sesungguhnya yang mengemukakan seruan ini kepada kamu ialah Allah sendiri yang telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan. Dialah yang mengemukan kepada kamu bahawa tujuan Dia menciptakan kamu dengan berbagai-bagai bangsa dan suku itu bukanlah supaya kamu bergaduh dan berseteru antara satu sama lain, malah supaya kamu berkenal-kenalan dan bermesra antara satu sama lain. Perbezaan bahasa dan warna kulit, perbezaan tabiat dan akhlak, perbezaan kebolehan dan bakat-bakat adalah perbezaan yang tidak seharusnya membawa kepada pergaduhan dan perbalahan , malah perbezaan itu sewajarnya  membawa kepada tolong-menolong dan kerjasama yang erat untuk melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan dan melengkapkan keperluan-keperluan umat manusia.!

Saya begitu  terkilan sekali, apabila mendengar pembatalan salah seorang penda'wah yang terkenal, yang menyeru kepada ilahi, mencari persamaan dibatalkan! Ceramah yang berjudul  ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ ini mendapat tentangan yang ramai terutama dikalangan orang bukan Islam. 
Barangkali tajuknya yang kontroversial telah disalahfahami oleh ramai orang yang menganut agama Hindu, namun apakah alasan sesetengah umat Islam, yang bernaung atas nama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mempertikaikan DZN dan kredibilitinya sebagai penyeru kepada jalan kebenaran??!
Tidak kurang hebatnya apabila kehadirannya, menggesa pembenci-pembenci DZN untuk merendah-rendahkannya, dengan menyebut-yebut akan kelemahannya! Padahal yang direndahkannya itulah yang sedang menyeru kepada kebaikan. Hal ini jelas dilarang dan diperingatkan  Allah didalam Al-Quran, dalam surah alHujarat ayat ke-11, yang bermaksud,

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
Prof Dr Hamka pula telah memberikan ulasan tentang ayat ini didalam tafsir yang terkenalnya, Tafsir Al-Azhar,
"Inilah peringatan yang halus dan tepat sekali dari Tuhan. Mengejek, dan menghina tidaklah layak dilakukan kalau orang merasa dirinya orang yang beriman. Sebab orang yang beriman akan selalu menilik kekurangannya yang ada pada dirinya...Mengejek dan memandang rendah orang lain adalah kerana merasa bahawa diri sendiri serba lengkap, serba tinggi dan serba cukup. padahal awaklah yang serba kekurangan. Segala manusia pun haruslah mengerti bahawa adalah dirinya sendiri terdapat segala macam kekurangan, kealpaan dan kesalahan."
 

Seruan DZN, iaitu da'wah kepada  Islam seharusnya disokong, disambut, dan diberikan pertolongan kerana niatnya jelas dan terang, iaitu untuk memberi gambaran yang betul kepada yang bukan Islam tentang Islam. Barangkali kurangnya menerima pendapat lain, atau tiada sikap berlapang dada  adalah satu penyakit yang mana berlaku pada zaman sekarang , dimana  Dr Yusuf Al-Qaradhawi pernah menjelaskan,    As-Sohwah Al-Islamiyyah baina Al-Ikhtilaf Al-Masyru' wa At-Tafarruq Al-Madzmum (Kebangkitan Islam di antara perselisihan yang dibenarkan dan perpecahan yang dicela);


"Penyakit kebanyakan orang yang menceburi ilmu ialah mereka hanya mengetahui satu pendapat atau pandangan sahaja. Mereka menerimanya daripada seorang syeikh atau terkepung dalam satu aliran sekolah. Mereka tidak memberikan masa untuk mendengar pendapat lain atau membincangkan pandangan yang berlawanan atau melihat pemikiran sekolah-sekolah lain."

Melihat kepada fenomena ini, saya teringat apa yang ditulis oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam bukunya Fiqh Awlawiyat dimana beliau menaqalkan kata-kata seorang penyair
"Bilakah bangunan itu akan sempurna, kalau anda membinanya, tetapi orang lain pula meruntuhkannya!"

Maka dalam hal ini, apa jalan keluarnya?

Hendaklah kita mula mencari titik-titik persamaan, mula bersama  untuk berkerjasama dalam perkara yang disepakati, dan bertolak ansur dalam perkara yang diperselisihkan! Mengikut manhaj wasatiy (pertengahan) dan meninggalkan sikap ghuluw (melampau)! Seandainya ada perkara yang ingin dibahaskan, hendaklah kita berdebat dengan cara yang ilmiah dan sesuai dengan ahlinya dalam kerangka untuk mencari kebenaran, tanpa mengalihkan perhatian isu-isu besar! Seandainya kita mempertikaikan hal-hal kecil, bagaimana kita ingin mencapai impian yang besar? 
 Islam memberikan rahmah kepada skalian alam, dimana keadilan dijunjung dan kezaliman dikecam! Sudahlah kita memperbesarkan perkara-perkara kecil, ayuhlah kita alih pandangan kita kepada isu-isu besar yang sedang melanda kemanusiaan terutamanya umat Islam!



Allahu'alam.



Friday, April 22, 2016

Redha : Abstrak yang Konkrit



Benar, kehidupan manusia ini penuh dengan pilihan. Ada manusia yang hendak bergelar doktor, ada juga yang ingin menjadi seorang jurutera. Ada juga agamawan yang suka berpolitik, tidak asing juga yang menjauhkan diri dari politik. Semuanya mempunyai pilihan. Salah!, tidak semua perkara itu pilihan. Siapa yang kata solat itu pilihan untuk manusia, tiada bukan. Lihat ada perkara yang tiada pilihan. Jangan tersilap menilai. Sebagai seorang insan yang beragama Islam, guru saya sering mengingatkan kita mesti beriman dengan kesemua rukun iman enam. Pastikan tiada satu pun yang tercicir.

Redha sangat berkait rapat dengan salah satu rukun iman. Ya, benar. Beriman dengan qadha dan qadar. Sikap memilih-milih dalam perkara keredhaan ini mengisyaratkan bahawa kita hanya redha terhadap ketentuan-ketentuan qadha yang sesuai dengan keinginan hati kita, dan menolak kalau tidak sesuai dengan matlamat kita. Ini bukan sikap seorang hamba, bukan sikap seorang hamba. Redha ini bukan pilihan, ianya kemestian. Dalam Al-quran, Allah telah memberi gambaran dalam surah Al-Hajj ayat 11 terhadap golongan yang memilih dalam redha ini.

“ Kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah semula (kepada kekufuran). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat.

Kata Dr ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni di dalam bukunya La Tahzan, redha itu adalah gerbang memasuki wilayah agama. Lihat agama itu terbina atas landasan redha. Jelaslah di sini manusia yang tidak meredhai sesuatu itu pasti ada masalah dalam pemahaman agamanya. Satu hal penting yang perlu disedari ialah bahawa keredhaan hamba kepada Allah dalam segala hal akan membuat Tuhannya redha kembali kepadanya.


“ Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur akan nikmat pemberian-Nya)
                                                                                                                              (Surah Al-Bayyinah:8)

Keredhaan itu ibarat benih pokok, yang menerimanya pasti menghasilkan buah-buah ranum. Orang yang redha ini sangat tenang jiwanya, hatinya seolah-olah terangkat hingga tempat yang paling tinggi. Keyakinannya terhadap pengaturan Allah itu tidak perlu dipersoalkan lagi, sangat mendalam. Maka lahirlah pengaruh redha ke dalam perbuatan hidupnya, kejujuran dalam bercakap, berbuat baik walaupun kesusahan melanda, perilakunya indah dan sentiasa tenang, kurangnya mempersoal banyak sekali bersetuju. Ya, inilah abstrak yang konkrit. Indahnya redha. Masih memilih untuk tidak redha? Ah, ruginya engkau. Keredhaan ini bukanlah boleh dilakonkan, ianya akan hadir tanpa diundang, hati yang bersih, tinggi cintanya kepada Allah amat mudah untuk menjemputnya. Redha ini soal hati. Hati manusia itu tidak pernah menipu. Manusia itu yang tidak ‘berhati’ sahaja yang tergamak menipu.

Redha ini soal hati,
Ianya tidak perlu dicari,
Cukup sekadar bersihnya hati,
Pasti akan senantiasa redha kepada sang Ilahi.