Friday, February 17, 2017

Sepetang dengan burung kecil & burung besar.

Amir seperti biasa singgah berehat di pondok kecilnya dibelakang rumah atuknya. Pondok itu boleh memuatkan 10 orang yang dibina oleh arwah moyangnya.
Ketika berehat, dia membawa makanan lebihan sewaktu sekolah pagi tadi. Amir mengambil peluang untuk melontarkan lebihan nasi ke arah burung-burung kecil.

Maka, berkicau-kicauan burung tersebut tanda menyambut makanan yang diberikan oleh Amir. Seolah-olah gembira akan rezeki yang dibahagi-bahagi Tuhan.

Keriangan itu nampaknya tidak berkekalan, dengan kehadiran beberapa burung yang saiz dua kali ganda besar berbanding burung kecil itu. Seolah-olah membuli burung-burung kecil.

Ini menimbulkan beberapa tindak balas oleh kumpulan burung kecil itu.

Ada yang membiarkan sahaja makanan mereka di rampas.
Ada yang memilih untuk terbang ke kawasan lain.
Ada yang bertindak untuk melarikan makanan.

Dalam keasyikan Amir merenung kejadian itu, Haziq datang untuk menyapa kawan sekolahnya itu,"Weh, Amir kau tengok apa tu!"

Amir tersentak dari pemerhatiannya, lalu menjawab" Takde aku tengah perhati burung-burung tu tadi"

Haziq bertanya lagi,"hah? Untuk apa?"

"Taklah. Burung-burung ini ibarat manusia juga. Kau bayangkan burung besar tu. Mereka ni macam orang politik yang berkepentingan. Kehadiran mereka hanya untuk mengambil hak orang lain tanpa rasa bersalah. Merampas rezeki orang lain tanpa hak mereka sebenar. Demi kepentingan diri, manusia seperti ini sanggup menindas, selagi mana mereka punya pangkat, punya nama dimata masyarakat.

Padahal, amanah dan kepercayaan yang  diberikan adalah untuk mereka berjasa semula kepada masyarakat, bukan untuk menyuapkan ke dalam perut sendiri. Mereka telah terpedaya dengan kerendahan dunia ini. Sampai hilang pertimbangan akal dan belas kasihan terhadap lain.

Yang menerima padahnya adalah rakyat marhaen juga. Alangkah ruginya hidup mereka ini. Hidupnya dibenci, namanya akan dicela."

17 FEB 2017
Ibn Skywalker



No comments: