Thursday, February 23, 2017

Masinnya Gula, Manisnya Garam


"Hari ini saya bawa kamu sejenis gula yang special." Seorang ustaz mengeluarkan sebiji balang berisikan pasir putih.

"Sebelum itu, saya ingin bertanya, apakah rasa gula?" Ustaz memandang wajah Ahmad.

Ahmad diam.

"Ahmad rasa, apakah gula rasa manis atau masin?" Ustaz memberi pilihan selepas melihatnya membisu beberapa tika.

"Manis." Jawabnya pendek.

"Are you sure?" Ustaz itu mula bermain kata.

Ahmad hanya diam. Kening kanannya mula menjungkit naik ke atas.

"Baiklah. Di sini, ada sebiji balang gula yang rasanya masin." Mata ustaz beralih kepada balang tadi. Tangannya memegang balang itu dan didekatkan kepada Ahmad. "Percaya?" Ustaz itu mencabar.

Mata Ahmad mula tertumpu pada balang. "Tak."

"Kalau gula ini betul-betul masin, macam mana?" Ustaz itu terus bermain kata.

"Mustahil. Mana ada gula yang masin." Ahmad malas-malas melayan karenah ustaz itu.

Ustaz itu menoleh ke belakang dan menjerit, "Abid, datang sini sekejap!"

Tidak jauh dari situ, ada seorang kanak-kanak yang sedang bermain dengan bola kecil berwarna merah. Abid terus berpaling, "Ye abah. Abid datang." Budak itu terus berlari kepada ustaz itu sambil mengengam erat bolanya.

"Ada apa abah?" Abid bersuara.

"Cuba Abid rasa gula ini, masin tak rasanya?" Ustaz itu memberi arahan pada budak kecil itu, sambil membuka penutup balang kaca itu.

"Baik!" Abid segera memasukkan tangannya ke dalam balang. Dia memanjangkan jari telunjuknya. Beberapa biji 'pasir putih' melekat pada jarinya. Abid menarik tangannya keluar dan terus meletakkan jarinya ke atas lidah. Dahinya berkerut.

"Macam mana? Masin tak?" Ustaz itu menyoal.

"Tak. Manis la abah." Kerut di dahi menghilang, dan bibirnya mengukir senyuman. "Mana ada masin." Dia menyambung dan terus berlari ke tempat permainan asalnya.

"Kan saya dah kata, gula itu manis. Yang masin adalah garam. Apalah ustaz ni. Ingat saya ni budak-budak ke?" Tiba-tiba Ahmad mencelah.

"Itu gula biasa. Gula ni lain sikit, Ahmad. Memang betul, rasanya masin." Ustaz menoleh muka kembali kepada Ahmad.

"Mengarut, Semua gula sama saja." Ahmad mencebik muka. "Lagipun anak ustaz sendiri kata gula tu manis."

"Ahmad percaya pada budak kecik, atau pada ustaz yang dah lama hidup?" Ustaz mula mencabar. "Ahmad fikir ustaz tipu?" Ustaz itu terus buat provokasi.

Ahmad mula membetulkan badannya. Jiwanya mula tertarik dengan provokasi ustaz itu.

Sebelum Ahmad menjawab ustaz itu menyambung lagi, "Takkan Ahmad tak percaya pada ustaz. Kalau ustaz pun Ahmad tak percaya, siapa lagi yang nak dipercayai?"

"Bukan isu percaya atau tak, tapi memang gula itu manis." Ahmad menyangkal kata-kata ustaz.

"Ahmad nak try rasa?" Ustaz menghulur balang yang terbuka itu.

Ahmad memandang 'pasir putih' itu.

"Kenapa? Takut?" Ustaz itu terus provok.

"Tak. Saya yakin gula itu manis." Dia terus menghulur tangannya ke dalam balang. Mengambil sedikit pasir, dan terus ia kecapi dengan lidahnya. "Kan, manis rasanya." Dia bersuara.

Ustaz itu senyum. "Kenapa Ahmad tak percaya dengan kata-kata ustaz bahwa gula itu masin?"

"Sebab gula memang manis. Nak kata apa lagi?" Ahmad sedikit naik suaranya.

"Itulah dinamakan Aqidah." Ustaz itu cepat-cepat bersuara bagi mengelak sebarang ketegangan.

Ahmad terdiam. "Aqidah?" Hatinya berbisik. Bebola matanya tepat menuju pada ustaz itu. Dia seakan sudah sedia untuk menyambut kata-kata yang seterusnya.

No comments: