Friday, April 15, 2016

SEJARAH MATEMATIK (1) : GENESIS MATEMATIK 1

(sumber)

PEMBUKAAN

Sebagai seorang pelajar dalam bidang Sejarah Matematik, satu persoalan yang harus kami perhatikan adalah:
“Bila ilmu Matematik lahir?”
Menjawab soalan ini, Guru Penyelia saya telah memperkenalkan saya satu buku yang cukup luar biasa. ‘Mathematics : The Loss of Certainty’ tulisan tangan Morris Kline, seorang Profesor Emeritus Matematik daripada Courant Institute of Mathematical Sciences, Universiti New York.

Buku ini dimulai dengan untaian kata hikmah dari seorang ahli matematik moden, Henri Poincare yang terkenal dengan Poincare Conjecture yang pernah dikategorikan sebagai salah satu dari 7 “Millennium Prize Problems” dimana pada tahun 2000, Clay Mathematics Institute menawarkan hadiah $ 1,000,000 kepada jawapan pertama yang betul. Kata-kata Poincare yang dipetik adalah:
“To foreseen the future of mathematics, the true method is to study its history and its present state.” 
(Untuk meramal masa depan matematik, kaedah yang betul ialah dengan mempelajari sejarahnya dan keadaan semasa.)

Pembelajaran ‘Sejarah Matematik’ amat penting bagi pelajar yang ingin mendalami dunia Matematik. Penguasaan bidang ini akan membantu mereka dari sudut kejelasan tentang pengembangan terminologi sesuatu perkara. Dengan kefahaman yang jelas dan jitu ini, mereka akan mampu mengaitkan antara cabang-cabang ilmu Matematik dengan lebih tepat. Dan ini sangat penting dalam mencapai tujuan akhir ilmu Matematik itu.

Namun, diskusi ilmu ‘Sejarah Matematik’ juga amat berguna kepada orang awam terutama bagi menimbulkan minat dan mengelak kecelaruan dalam memahami dunia Matematik. Ilmu ini juga mampu membantu kita mempelajari kaedah pemikiran yang lebih baik. Oleh sebab itu, kebanyakkan ahli Matematik juga adalah ahli falsafah. Antara mereka adalah Pythagoras, Plato, Aristotle, Descartes, Galileo, Kepler, Russell, Leibniz, dan Newton. Maka, insyaAllah saya akan berkongsi tentang kelahiran ilmu matematik sekadar telahan saya.

PERMULAAN

Setiap tamadun yang wujud di bumi akan berusaha mencari kebenaran. Manusia tercari-cari jawapan bagi menjawab soalan yang sentiasa bermain dalam jiwa setiap insan.

“Apakah rupa sebenar alam ini?”
“Apa tujuan manusia dilahirkan di bumi ini?”
“Bagaimana proses kejadian manusia pertama?”
“Ke mana hala tuju akhir manusia?”
Dan bermacam-macam lagi persoalan dalam pemikiran.

Untuk itu, ketua agama telah memainkan peranan penting dalam menjawab soalan-soalan ini dan masyarakat secara umumnya membenarkan kata-kata mereka. Namun, tamadun purba Greek datang memberi kelainan. Mereka mula menawarkan solusi baru kepada permasalahan dan soalan-soalan agung tersebut. Mereka memperkenalkan the power of reason (kuasa pemikiran).

Tamadun klasik Greek berkembang baik sepanjang tahun 600 S.M. sehingga 300 S.M. Mereka mempercayai bahawa manusia boleh mencari kebenaran melalui intellect (pemikiran) dan dibantu dengan observation (pemerhatian) dan experimentation (kajian). Kaum yang memulai kaedah ini adalah Ionia yang hidup di sekitar Asia Minor (Asia Kecil). Ramai ahli sejarawan berpendapat bahawa ini berlaku disebabkan faktor politik dan sosial. Walau bagaimanapun, pengetahuan tentang sejarah Greek sebelum 600 S.M. terlalu terpecah-pecah dan belum dijumpai penjelasan yang menyatu.

Greek telah menggunakan 'kebijaksanaan akal' pada sistem politik mereka, moraliti, keadilan, pendidikan dan beberapa lagi yang berkaitan dengan isu kemanusiaan. Pada satu tahap, Greek telah menggunakan kaedah 'kebijaksanaan akal' bagi mempelajari the laws of nature (peraturan alam). Dan ini adalah cabaran terbesar bagi kaedah akal, sepertimana yang diutarakan oleh Morris Kline.

Sebelum penglibatan Greek dalam memahami peraturan alam dengan kaedah 'kebijaksanaan akal', alam ini dilihat berjalan tanpa struktur yang sistematik bahkan ia dikatakan kejadian alam berlaku disebabkan kehendak tuhan. Bahkan kepercayaan orang terdahulu (dan sekarang masih wujud di setengah tempat) bahawa doa, pengorbanan dan lain-lain ritual diperlukan bagi ‘mengambil hati’ tuhan daripada kemurkaannya. Mereka juga menyangka manusia di mata tuhan seumpama semut di mata manusia. Yakni, manusia langsung tidak ada signifikan bagi tuhan.

Memahami situasi ini, saya sentiasa bermuhasabah tentang firman Allah. Antara banyak Asma’ul-Husna yang Allah miliki, Dia mulakan nama Ar-Rahman dalam surah Al-Fatihah. Ar-Rahman bermaksud Maha Pengasih. Salah satu dari hikmah disusun sebegini adalah bagi menyatakan bahawa penyembahan / pengabdian kepada Tuhan adalah disebabkan kasih sayang Allah, bukan kerana ketakutannya. Maka beberapa ayat selepas itu, kita menyatakan kesediaan diri kita dengan menyebut : Iyya-Ka na’budu (kepada-Mu kami mengabdi). Ini sebagai lawan kepada penyembahan orang terdahulu kerana takut kemurkaan tuhan mereka.

Kembali kepada tamadun Greek, kewujudan kaedah memahami peraturan alam dengan 'kebijaksanaan akal' sekali gus menjadi saingan kepada golongan ‘agamawan’ dan kepercayaan masyarakat yang hanya bersandar jawapan mistik daripada golongan tersebut. Kaum bijak-pandai ini, yang hanya terdiri segelintir kecil, telah membuat kajian dan telahan terhadap kejadian-kejadian alam semesta dan cuba memahaminya.

Adakah tumbuhan, binatang, manusia, planet, cahaya dan bunyi itu semata-mata kejadian alam yang berlaku secara kebetulan atau mereka sebahagian dari Grand Design? Golongan intelek Greek cuba untuk memahami alam dengan pendekatan baru, yakni kaedah ‘kebijaksanaan akal’ yang terkandung dalamnya rasional, kritis dan sekular. Mitos-mitos ditinggalkan, dan soalan-soalan mistik cuba dijawab secara rasional. Pada akhirnya, golongan intelek ini bersepakat menyatakan bahawa alam ini bergerak secara tersusun dan berfungsi mengikut Grand Design.

Semua fenomena alam sampai kepada logik, daripada pergerakan planet di angkasaraya hingga kepada keguguran daun dari pokok. Semua peristiwa alam boleh disusun dan membentuk pattern (corak) tertentu. Secara ringkas, mereka berkonklusi bahawa alam semesta ini dicipta secara rasional dan reka-cipta ini tidak terkesan oleh perbuatan manusia atau pemikiran manusia. Ia sudah tersusun rapi tanpa campur tangan manusia.

No comments: