Cuba kita perhatikan, kehidupan kita, renungkan saudara-saudara seislam kita, mahupun saudara-saudara kemanusiaan kita. Cukup berbeza dari segi kulit, rupa, bahasa, pemikiran , bukan? Tapi adakah kita akan menjadikan semua perbezaan ini, sebagai satu titik untuk bermusuh-musuhan, bertelingkah?
Sebelum kita terus mencari cari perbezaan untuk kita menghentam sesama sendiri, maka eloklah kiranya jika kita renungkan kalam Allah yang bermaksud,:
"Wahai manusia sesungguhnya kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu kenal-mengenal. Sesungguhnya sebaik-baik kamu di sisi Allah ialah yang paling bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)
Komentar as-Syahid Syed Qutub dalam kitabnya, Tafsir fi Zillal Quran menyatakan,
"Wahai manusia dari berbagai-bagai bangsa, warna dan suku-suku! Sesungguhnya kamu adalah berasal dari satu keturunan sahaja. Oleh kerana itu janganlah kamu berpecah belah dan bersengketa antara satu sama lain.
Wahai manusia! Sesungguhnya yang mengemukakan seruan ini kepada kamu ialah Allah sendiri yang telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan. Dialah yang mengemukan kepada kamu bahawa tujuan Dia menciptakan kamu dengan berbagai-bagai bangsa dan suku itu bukanlah supaya kamu bergaduh dan berseteru antara satu sama lain, malah supaya kamu berkenal-kenalan dan bermesra antara satu sama lain. Perbezaan bahasa dan warna kulit, perbezaan tabiat dan akhlak, perbezaan kebolehan dan bakat-bakat adalah perbezaan yang tidak seharusnya membawa kepada pergaduhan dan perbalahan , malah perbezaan itu sewajarnya membawa kepada tolong-menolong dan kerjasama yang erat untuk melaksanakan tugas-tugas kemanusiaan dan melengkapkan keperluan-keperluan umat manusia.!
Saya begitu terkilan sekali, apabila mendengar pembatalan salah seorang penda'wah yang terkenal, yang menyeru kepada ilahi, mencari persamaan dibatalkan! Ceramah yang berjudul ‘Similarities Between Hinduism and Islam’ ini mendapat tentangan yang ramai terutama dikalangan orang bukan Islam.
Barangkali tajuknya yang kontroversial telah disalahfahami oleh ramai orang yang menganut agama Hindu, namun apakah alasan sesetengah umat Islam, yang bernaung atas nama Ahli Sunnah Wal Jamaah yang mempertikaikan DZN dan kredibilitinya sebagai penyeru kepada jalan kebenaran??!
Tidak kurang hebatnya apabila kehadirannya, menggesa pembenci-pembenci DZN untuk merendah-rendahkannya, dengan menyebut-yebut akan kelemahannya! Padahal yang direndahkannya itulah yang sedang menyeru kepada kebaikan. Hal ini jelas dilarang dan diperingatkan Allah didalam Al-Quran, dalam surah alHujarat ayat ke-11, yang bermaksud,
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."
Prof Dr Hamka pula telah memberikan ulasan tentang ayat ini didalam tafsir yang terkenalnya, Tafsir Al-Azhar,
"Inilah peringatan yang halus dan tepat sekali dari Tuhan. Mengejek, dan menghina tidaklah layak dilakukan kalau orang merasa dirinya orang yang beriman. Sebab orang yang beriman akan selalu menilik kekurangannya yang ada pada dirinya...Mengejek dan memandang rendah orang lain adalah kerana merasa bahawa diri sendiri serba lengkap, serba tinggi dan serba cukup. padahal awaklah yang serba kekurangan. Segala manusia pun haruslah mengerti bahawa adalah dirinya sendiri terdapat segala macam kekurangan, kealpaan dan kesalahan."
Seruan DZN, iaitu da'wah kepada Islam seharusnya disokong, disambut, dan diberikan pertolongan kerana niatnya jelas dan terang, iaitu untuk memberi gambaran yang betul kepada yang bukan Islam tentang Islam. Barangkali kurangnya menerima pendapat lain, atau tiada sikap berlapang dada adalah satu penyakit yang mana berlaku pada zaman sekarang , dimana Dr Yusuf Al-Qaradhawi pernah menjelaskan, As-Sohwah Al-Islamiyyah baina Al-Ikhtilaf Al-Masyru' wa At-Tafarruq Al-Madzmum (Kebangkitan Islam di antara perselisihan yang dibenarkan dan perpecahan yang dicela);
"Penyakit kebanyakan orang yang menceburi ilmu ialah mereka hanya mengetahui satu pendapat atau pandangan sahaja. Mereka menerimanya daripada seorang syeikh atau terkepung dalam satu aliran sekolah. Mereka tidak memberikan masa untuk mendengar pendapat lain atau membincangkan pandangan yang berlawanan atau melihat pemikiran sekolah-sekolah lain."
Melihat kepada fenomena ini, saya teringat apa yang ditulis oleh Dr Yusuf Al-Qaradhawi didalam bukunya Fiqh Awlawiyat dimana beliau menaqalkan kata-kata seorang penyair
"Bilakah bangunan itu akan sempurna, kalau anda membinanya, tetapi orang lain pula meruntuhkannya!"
Maka dalam hal ini, apa jalan keluarnya?
Hendaklah kita mula mencari titik-titik persamaan, mula bersama untuk berkerjasama dalam perkara yang disepakati, dan bertolak ansur dalam perkara yang diperselisihkan! Mengikut manhaj wasatiy (pertengahan) dan meninggalkan sikap ghuluw (melampau)! Seandainya ada perkara yang ingin dibahaskan, hendaklah kita berdebat dengan cara yang ilmiah dan sesuai dengan ahlinya dalam kerangka untuk mencari kebenaran, tanpa mengalihkan perhatian isu-isu besar! Seandainya kita mempertikaikan hal-hal kecil, bagaimana kita ingin mencapai impian yang besar?
Islam memberikan rahmah kepada skalian alam, dimana keadilan dijunjung dan kezaliman dikecam! Sudahlah kita memperbesarkan perkara-perkara kecil, ayuhlah kita alih pandangan kita kepada isu-isu besar yang sedang melanda kemanusiaan terutamanya umat Islam!
Allahu'alam.
No comments:
Post a Comment