Friday, April 22, 2016

Redha : Abstrak yang Konkrit



Benar, kehidupan manusia ini penuh dengan pilihan. Ada manusia yang hendak bergelar doktor, ada juga yang ingin menjadi seorang jurutera. Ada juga agamawan yang suka berpolitik, tidak asing juga yang menjauhkan diri dari politik. Semuanya mempunyai pilihan. Salah!, tidak semua perkara itu pilihan. Siapa yang kata solat itu pilihan untuk manusia, tiada bukan. Lihat ada perkara yang tiada pilihan. Jangan tersilap menilai. Sebagai seorang insan yang beragama Islam, guru saya sering mengingatkan kita mesti beriman dengan kesemua rukun iman enam. Pastikan tiada satu pun yang tercicir.

Redha sangat berkait rapat dengan salah satu rukun iman. Ya, benar. Beriman dengan qadha dan qadar. Sikap memilih-milih dalam perkara keredhaan ini mengisyaratkan bahawa kita hanya redha terhadap ketentuan-ketentuan qadha yang sesuai dengan keinginan hati kita, dan menolak kalau tidak sesuai dengan matlamat kita. Ini bukan sikap seorang hamba, bukan sikap seorang hamba. Redha ini bukan pilihan, ianya kemestian. Dalam Al-quran, Allah telah memberi gambaran dalam surah Al-Hajj ayat 11 terhadap golongan yang memilih dalam redha ini.

“ Kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah semula (kepada kekufuran). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat.

Kata Dr ‘Aidh bin Abdullah Al-Qarni di dalam bukunya La Tahzan, redha itu adalah gerbang memasuki wilayah agama. Lihat agama itu terbina atas landasan redha. Jelaslah di sini manusia yang tidak meredhai sesuatu itu pasti ada masalah dalam pemahaman agamanya. Satu hal penting yang perlu disedari ialah bahawa keredhaan hamba kepada Allah dalam segala hal akan membuat Tuhannya redha kembali kepadanya.


“ Allah redha akan mereka dan mereka pun redha (serta bersyukur akan nikmat pemberian-Nya)
                                                                                                                              (Surah Al-Bayyinah:8)

Keredhaan itu ibarat benih pokok, yang menerimanya pasti menghasilkan buah-buah ranum. Orang yang redha ini sangat tenang jiwanya, hatinya seolah-olah terangkat hingga tempat yang paling tinggi. Keyakinannya terhadap pengaturan Allah itu tidak perlu dipersoalkan lagi, sangat mendalam. Maka lahirlah pengaruh redha ke dalam perbuatan hidupnya, kejujuran dalam bercakap, berbuat baik walaupun kesusahan melanda, perilakunya indah dan sentiasa tenang, kurangnya mempersoal banyak sekali bersetuju. Ya, inilah abstrak yang konkrit. Indahnya redha. Masih memilih untuk tidak redha? Ah, ruginya engkau. Keredhaan ini bukanlah boleh dilakonkan, ianya akan hadir tanpa diundang, hati yang bersih, tinggi cintanya kepada Allah amat mudah untuk menjemputnya. Redha ini soal hati. Hati manusia itu tidak pernah menipu. Manusia itu yang tidak ‘berhati’ sahaja yang tergamak menipu.

Redha ini soal hati,
Ianya tidak perlu dicari,
Cukup sekadar bersihnya hati,
Pasti akan senantiasa redha kepada sang Ilahi.



No comments: