Pawagam zaman Ionia (sumber) |
ASAL KEJADIAN
Morris Kline
seterusnya berbicara sedikit tentang huraian ahli falsafah tentang pandangan
mereka terhadap asal kejadian alam. Ionian Philosophers (Ahli falsafah
Ionia) pada abad ke-6 S.M. telah membuat percubaan bagi menjelaskan konsep alam
dan fungsinya secara rasional. Penjelasan ini kesan daripada penakulan yang
serius oleh mereka melalui observation (pemerhatian) dan experimentation
(kajian). Antara tokoh terkemuka di waktu itu adalah Thales, Anaximander,
Anaximenes, Heraclitus dan Anaxagoras. Setiap daripada mereka mengemukakan
pandangan tersendiri terhadap asal kejadian alam.
Kline
mengambil contoh Thales (624 – 546 S.M.) yang berketurunan Miletus (sekarang:
Caria, Turki) telah menyimpulkan bahawa asal kejadian alam ini adalah air,
samada ia berbentuk gas, cecair atau pepejal. Dia berusaha menjelaskan fenomena
alam berhubung kuat dengan air seperti awan, kabus, embun dan hujan, bahkan air
menjadi keperluan asas kepada kehidupan serta menghidupkan tanaman dan memberi
minum kepada binatang. Hari ini, kita diberitahu bahawa tubuh badan kita diliputi
sehingga 70 peratus air.
Anaximander
(610 – 546 S.M.) yang berguru dengan Thales mempunyai pandangan berbeza.
Merujuk kepada buah yang dikeringkan di tengah panas matahari sehingga seluruh
air yang terkandung di dalamnya tersejat (contohnya buah anggur yang
dikeringkan menjadi kismis), Anaximander mengatakan mustahil segala sesuatu itu
berasal dari air. Ini kerana buah itu masih wujud walau selepas semua air sudah
tersejat keluar. Dari situ, dia berpendapat bahawa asal kejadian alam ialah unidentified
mass (objek yang tidak diketahui) yang dia namakan sebagai apeiron.
Selepas itu,
pandangan tentang asal alam berubah dengan kelahiran Anaximenes (585 – 528
S.M.). Dia berpandangan segala yang wujud di kosmos berasal dari composed of
air (mampatan udara). Jika mampatan itu kuat, maka ia membentuk pepejal.
Dan begitulah seterusnya. Ini disebabkan Anaximenes ‘tidak meminati’ penggunaan
unidentified mass. Heraclitus (525 – 475 S.M.) datang memperkenalkan
idea panta rhei yang bermaksud ‘semuanya mengalir’. Baginya dunia ini
sentiasa bergerak dan mengalami perubahan setiap detik. Untuk bergerak, tenaga
diperlukan. Dan antara empat elemen asas, elemen api yang paling tepat bagi menunjukkan
kekuatan dan sumber tenaga. Maka, Heraclitus beranggapan bahawa dunia ini
berasal dari api. Bahkan Dr Isham Pawan, pensyarah falsafah saya pernah
memberitahu kepada kami bahawa Heraclitus mampu menjelaskan bagaimana air itu
sendiri berasal dari api.
Ahli
falsafah Greek terakhir yang ingin dikongsi di sini adalah Anaxagoras (510 –
428 S.M.) juga berbangsa Ionia. Anaxagoras telah memberi idea baru terhadap
pemahaman tentang alam. Dia berpendapat bahawa konsep Nous (Minda
Kosmik) sebagai ‘kuasa penyusunan’ alam sejagat. Alam ini terkandung kepelbagaian
elemen, dan Nous berperanan untuk membentuk ketertiban alam dan menjaga
keharmoniannya.
Kelima-lima
tokoh falsafah Greek ini telah mengemukakan pandangan mereka terhadap konsep
alam setelah melakukan pemerhatian dan kajian terhadap alam, dan diharmonikan
dengan kaedah ‘kebijaksanaan akal’. Pandangan mereka ini telah memberi
keyakinan tambahan kepada ahli matematik bahawa alam ini mempunyai pattern
tertentu yang boleh dikaji oleh manusia. Bahkan Kline mengatakan bahawa mereka
berani mengsikapi alam dengan pemikiran minda dan menolak untuk bergantung pada
tuhan, makhluk halus, malaikat, syaitan, dan unsur-unsur ghaib yang lain dalam
menjelaskan konsep kejadian alam. Semangat yang ditonjolkan oleh mereka tergambar
pada kata-kata Anaxagoras, “Reason rules the world.” (Pemikiran
menguasai dunia.)
PYTHAGORAS
Langkahan
para intelek Greek dalam merungkai misteri dan mistik alam melalui pemahaman
corak yang wujud boleh diaplikasikan ke dalam bentuk matematik. Di sinilah peranan
terbesar pemikiran rasional dalam ‘melahirkan’ ilmu matematik. Alam ini mula
dipercayai direkabentuk secara matematik (mathematically design), dan
dengan matematik seseorang mampu menembusi rekabentuk itu.
Kumpulan
utama yang menawarkan kajian alam secara matematik ialah Pythagorean, kumpulan
yang dipelopori oleh Pythagoras (585 – 500 S.M.) berwarganegara Samos (termasuk
dalam negara Greece). Asas utama kumpulan Pythagorean ialah rasional. Mereka
menganggap bahawa fenomena boleh 'dibaca' secara kualitatif yang membentuk identical
mathematical properties (ciri-ciri matematik yang sekata). Ciri-ciri ini menjadi asas kepada fenomena alam ini. Lebih spesifik, Pythagorean mengatakan asas ini melibatkan 'nombor' dan hubungan
berangka (numerical relationship).
'Nombor' ialah perkara terpenting apabila ingin diterangkan
konsep alam atau objek. Semua objek terbentuk daripada zarah jirim atau dipanggil units
of existence (unit kewujudan) mesti mempunyai kombinasi yang
sepadan dengan pelbagai bentuk geometri. Jumlah unit-unit nombor mewakili objek
material. 'Nombor' ialah bentuk kepada alam semesta. Maka, tidak hairan jikalau doktrin terkenal
Pythagorean ialah “All things are numbers.” (Semua benda adalah nombor).
Bermula dari titik ini ini, semua pencerahan tentang fenomena alam hanya boleh dicapai
melalui 'nombor'.
Doktrin
Pythagorean ini dilihat menghairankan dan memeningkan kepala, terutama mereka yang bukan ahli
matematik. Ini disebabkan kita sering beranggapan bahawa nombor itu bersifat
abstrak yakni sesuatu yang bersifat intangible (tidak boleh disentuh)
dan shapeless (tidak berbentuk). Pandangan kita terhadap ‘nombor’ yang
bersifat abstrak ini tidak dilakukan oleh golongan Pythagorean pada waktu itu.
‘Nombor’,
bagi Pythagorean, ialah titik atau partikel. Apabila mereka berbicara tentang triangular numbers
(nombor segi tiga), square numbers (nombor persegi, atau segi empat),
pentagonal numbers (nombor pentagon) dan seterusnya, maka dalam fikiran
mereka digambarkan satu set titik atau batu kecil yang tersusun membentuk
nombor sedemikian.
Triangular, Square, Pentagonal numbers. (sumber) |
Sebagai
contoh, triangular numbers yaitu 1 – 3 – 6 – 10 – 15 – seterusnya,
mereka akan membayangkan satu titik, atau tiga titik, atau enam titik, atau sepuluh
titik dan seterusnya, dan kesemua titik itu akan tersusun dalam bentuk piramid
yang mempunyai sisi sama panjang. Begitu juga square numbers yang akan
menjadikan titik-titik membentuk kotak yang mempunyai sisi sama panjang.
Namun,
dengan perkembangan masa, pandangan Pythagorean tentang ‘nombor’ mula
berevolusi sehingga mereka mula memahami ‘nombor’ secara konsep yang abstrak,
sepertimana yang kita fahami hari ini. Kesan dari sini, mereka mula melihat
satu objek itu terhasil dengan concrete realizations of numbers (realisasi nombor secara fizikal). Philolaus (470 – 385 S.M.) ada menjelaskan,
“were it not for number and its nature, nothing that exists would be clear to anybody either in itself or in its relation to other things. You can observe the power of number exercising itself, in all the acts and the thoughts of men, in all handicrafts and music.”
(jika bukan disebabkan nombor dan sifatnya, tiada yang wujud akan menjadi jelas kepada sesiapa, tidak kira samada tentang hakikat kewujudannya sendiri atau kaitannya dengan yang lain. Kamu boleh memerhatikan kehebatan nombor itu bertindak secara semulajadi, di dalam semua perbuatan dan fikiran manusia serta kraftangan dan muzik.)
*bersambung*
No comments:
Post a Comment