Saturday, April 30, 2016
Pesan-Pesan Buya Hamka (2)
KETIKA PINTU RUMAHKU DIKETUK OLEH KEMISKINAN, AKU BUKA JENDELA AKU LOMPAT KELUAR.
Pak Hanif dalam ceritanya ketika saya pertama kali menjejakkan kaki di kampung kelahiran Buya iaitu Danau Maninjau berkata apa yang dimaksudkan dengan ayat itu ialah kalau datang kemiskinan dalam hidup, usir dia atau tinggalkan dia. Itulah apa yg diberitahu Buya kepadaku, sambung Pak Hanif. Maaf saya kurang ingat apa hubungan Pak Hanif sama Buya Hamka cuma yang saya pasti Pak Hanif merupakan penjaga rumah kelahiran Buya atau lebih dikenali sekarang dengan Muzium Kelahiran Buya Hamka. Ada empat jenis kemiskinan yang Buya Hamka jelaskan di dalam karya beliau.
1- Kemiskinan yang pertama ialah Kemiskinan Ilmu
Kita sebagai seorang manusia dilebihkan daripada makhluk lain ialah akalnya. Setiap perkara itu ada makanannya. Sabar makanannya redha. Makanan akal ini ialah ilmu. Orang yang beriman tanpa didasari ilmu, imannya itu tidak benar. Mana mungkin seseorang itu beribadat tanpa ada ilmu dengan ibadatnya itu. Seseorang yang solat tanpa ilmu itu dia tidak akan pernah menjemput khusyuk. Dia berpuasa, dia tidak tahu apa maksud puasa, kenapa berlapar, lapar itu juga tiada ertinya. Ilmu itu landasan keimanan. Adanya ilmu itu baru kita akan masuk kepada taqwa. Beriman tanpa berakal itu sangat bahaya, agama Islam ini bukan agama mengikut, ianya memerlukan kefahaman, faham itu salurannya akal maka akan sampai tahap beriman dan beramal.
2- Kemiskinan yang kedua ialah Kemiskinan Iman.
Kita pergi hospital melihat orang diberi oksigen, ketika mahu keluar dari hospital pasti biayanya sangat mahal. Sejak kita dilahirkan oleh ibunda tercinta kita terus menghirup oksigen Allah tanpa henti sampailah ketika ini, pernah membayarnya? pergi hospital membayar tetapi kenapa ini kita tidak membayarnya? pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana kita membayarnya? nah, kita membayarnya dengan ketaatan beribadat kepada Allah dan kepatuhan kepada perintah Allah, itulah bayarannya, sangat mahal, hanya yang ada iman di dalam hatinya sahaja bisa membayarnya. Iman yang mantap akan lahir melalui pemahaman yang mantapa tentang agama. Tidak mengenal bagaimana mahu mencinta.
3- Kemiskinan Akhlak
Melihat kejadian penciptaan Adam, tidak salah dari 6 jenis tanah, salah satunya ialah tanah lumpur, hitam, kotor dan busuk. Beberapa malaikat disuruh oleh Allah untuk mengambil tanah, bumi menolak dengan berkata aku tidak ingin tubuhku diambil dan dijadikan makhluk yang durhaka kepada Allah. Lantas, Allah menyuruh satu makhluk, ambilnya akan permintaan Allah itu dan bawanya ke syurga. Malaikat ini tidak peduli apa hubungan bumi, diambilnya dan dibawa ke syurga kerana sikapnya yang tegas, tiada perasaan dan kejamnya itu akhirnya dia dijadikan malaikat maut. Sampai di syurga, dari tanah itu tadi Allah jadikan makhluk yang mirip dengan manusia sekarang dan Allah katakan 'aku tiupkan dengan roh ciptaanku'. Setelah itu, Allah kumpulkan seluruh ahli syurga dan berkata 'usjudu li Adam', kesemuanya sujud melainkan iblis tapi di sini kita tidak akan membicarakan tentang iblis tapi tentang malaikat. Malaikat itu diciptakan daripada cahaya, tidak punya dosa, tidak ada kemahuan, kerjanya hanya taat dan patuh kepada Allah, suci sekali. Kenapa yang suci ini sujud kepada Adam yang diciptakan daripada tanah lumpur yang hitam, kotor dan busuk itu? apa maksud di belakangnya itu? maksudnya tidak lain tidak bukan manusia yang bergelar manusia oleh Allah perlu lebih suci daripada malaikat, Allah mengatakan tidak aku ciptakan jin dan manusia melainkan beribadat kepadaku. Jadi jika ada manusia yang tidak taat dan patuh itu diragukan manusianya kerana Allah menciptakan manusia itu ialah manusia yang taat. Gagal memahami hakikat seorang hamba itu menyebabkan manusia itu sombong kepada pencipta-Nya.
4- Kemiskinan Harta
Sebenarnya kita ini semuanya kaya tidak ada yang miskin, kaya kan unsurnya bukan material semata-mata. Kita punya mata boleh melihat, kita punya kaki boleh merantau, tangan boleh bekerja. Ada yang buta, ada yang pekak, tiada tangan. Kita ini ada semuanya sempurna. Inilah kekayaan yang tidak boleh dibayar. Apa yang kurang bagi kita ialah bersyukur. Kita diberikan segala kesempurnaan tapi kesyukuran, rasa syukur kepada Allah itu tiada jadi sebenarnya tiada erti apa-apa hidup kita, tanpa kita bersyukur. Syukur itu sebenarnya harta kita bukan material. Buya Hamka berkata berkah rezeki itu akan diraih apabila kita sering solat dhuha, ada yang punya RM 1 juta dan ada yang punya RM 1K, adakah satu juta itu akan merasa cukup, belum tentu. Kurangnya syukur itu menyebabkan kita pada ketika ini miskin harta.
Bersambung. Muhasabah diri.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment