Saturday, April 2, 2016

Di Sini Hidupku Bermula Sebagai Penulis

Aku tatap gambar Ka'bah.
Kelilingnya berwarna hijau pekat.

Fikiranku menerawang,
usai cicipi buku "Usrah Ini Semua Poyo!"

Ringkasnya,
buku ini menempis salah faham tentang Usrah.

Aku menarik nafas,
menghembus perlahan-lahan.

Terus ku bangun,
dan melipat sejadah yang terhampar dihadapan.

Aku gantung ia di tempat khas,
lalu menukar pakaian yang lebih longgar.

Terus aku memetik button ON di laptop,
mindaku merawang lagi menunggu processing.

Bila terpampar wajah desktop,
aku klik pada butang Google Chrome.

Tanganku sudah tidak sabar lagi,
terus ku taip blogger.com di kolum website.

Setelah Blogger Dashboard muncul,
aku gerakkan cursor mouse ke icon pen putih yang tersedia.

Sekali lagi aku menarik nafas dan hembus perlahan.
hatiku berdebar perlahan.

Aku menekan Post Title,
dan menaip : Di Sini Hidupku Bermula Sebagai Penulis

(sumber)

"Aku mahu mencetak manusia yang akan menulis.!"

Itu jawab kawanku, ketika aku mengajak ia bersama dalam tim penulisan. Dia menjawab persis jawapan Hasan Al-Banna apabila ia ditanya kenapa Sang Imam tidak menulis.

Entah benar atau tidak riwayat kata-kata Al-Banna itu. Masakan, Al-Banna telah menulis beberapa Risalah untuk renungan ahli Ikhwan dan masyarakat umumnya.

"Aku juga mahu mencetak manusia, dengan lisan dan penulisan."

Balasku kepadanya. Ringkas.

-------------------------------------------------------

Aku mula menulis di alam blog seawal 2009. Masa itu hanya untuk suka-suki sahaja. Gigihnya tika itu hanya Allah tahu. Hampir hari-hari aku meng-update penulisan di blog. Bahkan aku sanggup meminjam komputer kakak ketika aku bercuti di KL. Masih segar dalam mindaku gambaran waktu itu.

Kemudian, aku ingin serius. Maka aku telah buat blog baru. Kali ini lebih Islamik dan lebih berobjektif. Kemuncak penulisanku ialah tahun 2011. Begitu semangat. Zaman itu zaman blog dan wordpress, belum famous facebook.

Bahkan tika facebook mula tersebar di khalayak ramai, aku masih dengan dunia blogging. Hingga satu masa, aku merasakan perlu cuba medium sosial baru. Maka, aku telah membuka satu poll untuk meminta pandangan para pembaca blog tentang niat itu. Dan Alhamdulillah, ramai yang menyokong.

Mulai saat itu, aku perlahan-lahan berjinak dengan dunia facebook. Sudah ku lupa bila tarikh keramat itu. Namun, ketika permulaan itu, aku disambut baik dek status facebook ku masih lagi punya stail blogging atau cerita pendek. Dan masa terus berjalan. Hingga aku sedari satu hal, dunia FB telah menumpulkan skil penulisanku.

Aku meratapi kesedihan ini. Mulai 2014, aku sudah tidak menyentuh lagi blog. Hidupku hanya terisi dengan FB. Status suka-suki, upload gambar, share video, tag nama kawan. Akhirnya, aku jatuh dalam kelalaian dunia maya.

---------------------------------------------

Hari hari dan hari berlipat ganti. Aku sedari dunia FB mulai tak terkawal. Maklumat sahih mula bercampur dengan kebatilan. Ledakan informasi meracuni fikiran. Pembaca sudah tidak mengenal yang mana harus dipetik dan yang mana harus ditolak.

Aku menanggung gelisah akan ini. Dan lama sekali aku merenung dan memerhati.

Tafsir Surah Al-'Alaq mula menjegah aku. Sikit-sikit aku mula menyedari kepentingan penulisan ini. Ia penting bagi menyampai maklumat yang sahih. Jika pembawa panji Al-Haqq tidak menulis, maka yang tinggal adalah tulisan picisan dan merosak jiwa.

Aku melihat gigihnya para ulamak menukilkan kitab-kitab bagi santapan generasi kita. Aku tertarik dengan Majdi Al-Hilali yang banyak menulis buku tentang kerohanian seperti "Agar Al-Qur'an Menjadi Teman". Juga karya pelbagai Amru Khalid seumpama "Khowatir Qur'aniyyah". Mustafa Masyhur dengan tulisan terkenalnya "Fiqh Dakwah", serta Sheikh Jum'ah Amin yang punyai kitab sama tajuknya.

Kita melihat Sheikh Muntalaq dengan kitab "Muntalaq" dan "Hambatan-Hambatan Dakwah". Syed Qutb dengan "Fi Zilal Al-Qur'an", Yusuf Qardhawi dengan kefaqihannya dan penulisannya serbaneka, Sheikh Sobuni dengan pena "Sofwah at-Tafasir" atau Imam Al-Ghazali dengan "Ihya' Ulumuddin".

HAMKA juga memiliki macam-macam penulisan, bermula dengan romatis kepada diskusi intelektual. Hasan Al-Banna dengan "Majmu' Rasail" dan Bediuzzaman Said An-Nursi dengan "Rasail an-Nur". Kitab sirah nabawi pula dipelopori oleh Al-Mubarakfuri, Sheikh Ramadan Al-Buti dan Mustafa Sibaie.

Belum lagi bicara Imam As-Sayuti, Syeikhul Islam Ibnu Qayyim, Ibnu Jauzi, Ibnu Sirin, Shalih Al-Uthaimin. Juga yang kontemporari seperti Sheikh Ahmed Raissouni, Dr Wahbah Zuhaili, Hasan Turabi.

Di Malaysia pula, kita punyai karya-karya agung dari Dr Zaharuddin Abd Rahman, Dr Maza, Dr Zahazan, Ustaz Pahrol Joui, Ustaz Wan Ji, Ustaz Haji Hadi, Dr Mujahid Rawa, Saari Sungib, Dr Asyraf Wajdi dan bermacam lagi. Belum kira tulisan anak muda lagi.

Melihat nama-nama dan penulisan mereka ini, membuatkan aku lesu tak bermaya. Bagai langit dan bumi jika dibandingkan dengan diri aku.

-----------------------------------------

Aku pernah menegur seorang kawan. Dia seorang yang hebat lagi berilmu. Kepakarannya dalam bidang Sejarah dan Tamadun. Selepas berbual panjang dan dia menceritakan banyak hal, aku bertanya padanya:

"Kalau kamu mati nanti, apakah ilmumu akan hilang begitu sahaja?"

Kami diam membisu.

-----------------------------------------

Maka, mula detik ini. Hatiku mula berbicara, dan mulutku mula bersuara. Lantas aku mengeledah balik blog lama. Dan ingin aku mula merangkak kembali dalam bidang penulisan. Kerna aku tahu, padanya terdapat seribu macam manfaat. Ia juga pasti akan membantu bicara kalamku suara masa nanti.

Tika aku ingin mula menulis, aku sedar bahawa diriku sudah tidak lama di bumi ini. Kemudian. Risau benar jika semangat ini terhapus. Walau aku sedar, Allah pasti akan menjaga agamaNya. Namun, aku mahu bahagian itu. Bahagian sebagai penjaga agama Allah.

Aku mahu membina satu perkumpulan. Membina para penulis yang siap-siaga, untuk mengangkat pena berbanding pedang atau pistol. Menjadi agen-agen khalifah di bumi. Seterusnya perkumpulan ini akan membina pewaris. Sikit-sikit hingga ia menjadi satu perkumpulan yang digeruni oleh musuh. Dan waktu itu, kami dengan penuh semangat melaung : "Hasbunallahu wa ni'mal wakil!"

Aku juga tahu, bekerja berseorangan itu lebih pantas dan gencar. Mudah dan tidak memenatkan. Namun, "if you want to go fast, you go alone. But, if you want to go far, you go together."

Aku mula bertanya kepada beberapa orang kawan, dan Alhamdulillah, beberapa dari kami dapat dikumpulkan. Mungkin perkumpulan ini masih baru dan ramai yang belum bersedia, bahkan banyak cacat cela. Namun aku puas hati. Ini satu permulaan bagi perjalanan yang panjang.

Sikit-sikit kami membina diri kami. Bersabar. Berdoa dan bertawakkal pada Allah, Tuhan kami.

Aku berharap, suatu masa nanti kami bakal menerbitkan satu buku bersama. InsyaAllah. Itu doaku. Dan kemudian perkumpulan kami ini akan diteruskan oleh generasi kami terkemudian. Membina lebih ramai penulis, yang lebih baik dari kami. Kerna kami mahu melahirkan pewaris yang mantap, bukan amateur seperti kami ini.

Untuk itu, aku tersenyum lega dan bahagia.

Di sini hidupku bermula sebagai penulis. InsyaAllah.

No comments: