Saturday, January 16, 2016

AKAL : GESAAN UNTUK PULANG


FALSAFAH HIDUP karya HAMKA
    



   Ketika saya cuba menghayati Falsafah Hidup karya Buya Hamka, ada beberapa intipati yang wajar saya rasa dikongsi bersama sebagai jawapan kepada soalan ini. Buku ini agak fiktif. Lima belas topik terawal buku ini yang terangkum dalam dua bab (pertama dan kedua), semuanya berputar di antara satu komposisi sahaja iaitu akal. Buya Hamka mendefinisikan akal, meletakkan hujung pangkal akal dan meletakkan satu persatu fungsi akal. Saya mula terfikir lagi, betapa besar penekanan ini sehingga ia mendominasi buku ini. Hamka seolah-olah seorang yang rasionalis kerana mengutamakan akal dalam setiap tindak tanduknya.

   Baru-baru ini saya tertanya-tanya dimanakah ‘kewajaran’ dalam peristiwa Israk Mikraj. Jika secara logiknya seperti yang difahami secara alamiahnya cuba menjawab kewajaran ini, saya fikir ia akan menemui jalan buntu. Namun kita tidak boleh menolak logika dan kewajaran kerana ia adalah fungsi akal. Sekali pandang, peristiwa ini luar logika. Namun itulah kesilapan kita kerana hanya ‘sekali pandang’. Sekiranya dipandang berkali-kali, maka titik kewajaran akan kita temui.
Nabi Muhammad SAW diriwayatkan dalam sebuah hadis ketika pulang dari peristiwa ini, tempat tidur Nabi masih hangat seolah-olah baru sekejap sahaja ditinggalkan. Menurut logika amat mustahil jika diukur jarak dan masa seperti yang difahami manusia sehingga timbullah pelbagai pandangan ada yang mengatakan ianya hanyalah spiritual journey dan yang jumhur mengatakan ianya adalah physical journey bukam sekadar mimpi.

   Baik. Begini. Jika kita cuba fikirkan keupayaan seekor lalat terbang dari Kedah ke Kuala Lumpur. Mustahil kan menurut logika dan fakta2 tentang seekor lalat seperti boleh hidup tiga empat hari sahaja. Jika sekali fikir, ya, ia amat mustahil. Namun, begitulah kita sekali fikir. Tidakkah kita berfikir bahawa lalat itu telah menumpang sebuah kereta. Bukankah ianya diterima akal? Itulah fikir sekali akan meninggalkan kesimpulan yang begitu tipis.

   Di sinilah sebabnya kenapa 15 topik pertama dalam buku Falsafah Hidup, Hamka hanya memutarkan subjek akal. Seolah-olah ada gesaan untuk pulang kepada akal. Fungsi sebenar akal ialah menilai sebelum sesuatu. Namun yang menyedihkan hari ini ialah ramai yang tidak menilai sebelum melakukan sesuatu. Tidak hairanlah ada manusia yang merasa bangga meng‘upload’ gambar ‘brelfie’nya. Tidak hairan juga apabila kita melihat kepada statistik kes penceraian di Malaysia yang kecoh baru-baru ini bukan sahaja nilai angka tersebut sahaja yang mengejutkan tetapi faktor2 penceraian itu juga sangat mengejutkan yang boleh dikatakan remeh. Tidak pelik juga ada juga orang yang sanggup menuduh, memaki dan tidak lupa juga melabel seseorang apabila tidak sependapat, sepolitik, sepersatuan dengannya. Dimanakah akal yang seharusnya menilai sebelum sesuatu dan dimana akal yang seharusnya menjadikan diri mudah dan terbuka.


Di sini, akal mengajar manusia membezakan sesuatu perkara termasuklah kebaikan itu sendiri. Akal berfungsi membezakan mana satu kebaikan yang sebenar dan mana satu yang hanya bertopengkan kebaikan. Akal juga berfungsi mengajar manusia mana satu kezaliman yang perlu ditentang dan dijauhi, dan mana satu yang perlu dinilai semula adakah ianya benar-benar kezaliman atau hanya tercipta dari riuh manusia. Hanya dengan menggunakan akal, banyak keputusan yang bakal kita tempuhi dengan tegas dan yakin. Keyakinan hati hannya akan dicapai melalui keyakinan akal. 

Untuk merubah sesuatu kita tidak perlu pergi terlalu jauh terkadang kita tidak perlu pergi pun sebaliknya pulang. Pulang kepada diri, kepada akal yang sememangnya anugerah yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya. Marilah kita ‘pulang’, masih belum terlambat untuk merubah. Pulang kepada akal. 

                                                              -kerinduanku-

No comments: