Thursday, March 31, 2016

Menjadi Manusia Biasa

"Kau nak jadi apa?"

"Eh, Kenapa tiba-tiba kau tanya?"

"Saje. Mana tau terinspirasi."

"Memandai je. Kau nak suruh aku jadi apa?"

"Eh? Aku serius ni."

Dia hanya gelak kecil. Terpancar sinar keputihan giginya.

"Aku nak jadi manusia biasa saja."

Inilah aku. Anda? (sumber)
Kawannya angkat kening.
"Come on la. Dulu kau kata kat aku supaya bercita-cita besar!"

Ukiran bibirnya makin memanjang.
"Ya. Aku sedang bercita besar la ni. Sejak bila aku tipu kau? Heh."

"So, apa speselnya ke-manusia-an ke-biasa-an kau ni?"
Gaya percakapan ke-an kawannya mula tersembur keluar.

"Aku hanya mahu jadi manusia biasa di sisi Tuhanku. Aku harap agar Tuhan menerimaku sepertimana yang Dia hendaki. Aku kuatir untuk jadi luarbiasa, luar dari kebiasaan yang Tuhanku hendaki."

Kawannya diam. Menunggu kata.

"Berapa ramai hari ini, mereka sudah tidak menjadi manusia. Hilang jati diri manusiawi dalam diri mereka dek tertipu dengan helahan setan dan hiasan dunia. Yang tinggal, sifat-sifat yang tidak biasa. Atau orang putih sebut Abnormal.!"

"Macam mana tu?" Kawannya tiba-tiba menyampuk.

"Macam mana apa?"

"Macam mana nak tetap teguh menjadi manusia normal?"

Dia melihat wajah kawannya serius. Dia senyum lagi.
"Ambillah Islam dari sumber asal. Pelajari betul-betul. Rasai kelembutannya. Dan cicipi kemanisannya. Selagi mana kita belum merasainya, mungkin hati sudah menjadi abnormal. Kita pun tahu kan, Islam itu agama fitrah. Fitrah dan abnormality itu dua hal yang bertentangan. Orang yang keluar dari fitrah, dia akan terasa kekurangan dan kelemahan. Seumpama orang buta, dia telah kehilangan deria melihat."

"Pimpin aku, kawan. Aku juga mahu menjadi manusia biasa."

------

Wallahu a'lam.

Tuesday, March 29, 2016

Bila Fikiran Menguasai Diri Kau

A : Mat, apasal aku susah nak buat baik?
M : Pergi belajar la. Mungkin kurang ilmu.
A : Aku rasa, dah banyak aku belajar. Bertahun-tahun. Tapi still rasa payah nak mula buat kerja.
M : Mungkin kau banyak fikir kot.
A : Salah ke kalau aku banyak fikir?
M : Salah bila fikiran menguasai diri kau tu. Sampai kau rasa restless.
A : Kuasa diri aku? Restless? Maksud kau?
M : *senyum jahat sambil angkat tinggi kening kanan*

Tanpa fikir panjang, saya kreditkan gambar ini kepada (sumber) asalnya.

Mungkin kita sendiri pernah merasainya. Dah banyak membaca buku, tapi kurang beraksi.
Rasa macam munafik pun ada (tetibe teringat filem seram arahan Syamsul Yusuf).
Habis nak buat apa lagi? Takkan nak duduk bertelengku mengadap buku seumur hidup, semata-mata mencari makna kehidupan sehingga satu kuasa turun menggerakkan tubuh badan yang tengah kekeringan ni? Takkan kot.!

So, kita akan tanya tak henti-henti  : habis nak buat apa? *sambil buat poker face*

Well, basically, surah Al-Insyirah dan kisah Muhammad Sang Rasul saw ber-tahannus di gua hira’ menjadi pemula kepada jawapannya.
Buku ‘The Power of Now’ buah tangan Eckhart Tolle juga mampu memberi sinar cahaya kepada para manusia yang kebingungan.
Derap-derap semangat dari Bingkai Kehidupan milik Shoutul Harakah boleh memaksakan gerak kaki yang sedang kemalasan.

Benar, perkara yang menghambat kita bergerak dan bekerja adalah kerana extreme and overdose dalam berfikir.
Come on. Dunia ini tidak akan maju jika dalamnya wujud engkau-engkau yang hanya berfikir dan berhalunisiasi.
Tak kira la engkau ustaz atau doktor, bahkan jeneral merangkap ketua angkatan tentera udara sekalipun, tiada apa yang berlaku jika melampau-lampau dalam lamunan fikiran.

Uzlahnya Sang Rasul saw di gua hira’ adalah untuk merehatkan fikiran dari kecelaruan fikiran yang tidak mampu dirungkai.
Eckhart Tolle pula bersuara, kita banyak belajar cara berfikir, tapi kita tidak pernah belajar cara untuk berhenti berfikir.
Fethullah Gulen juga bersetuju bahwa terkadang dalam hidup, kita perlu tutup buku dan jalani kehidupan sejajar dengan keimanan kita.

Namun kata orang, berfikir sesaat itu lebih baik ibadah seribu tahun.
Dan kata pakar motivasi, cara fikir yang salah akan mengakibat natijah yang celaka.
Akhirnya kita terus terperangkap dalam dimensi fikiran, dan fikiran yang menguasai diri kita.
Kita kuatir, kita salah dalam tindakan dan sesat, lalu dihumbankan ke Neraka. Hidup kekal di sana. Na’uzubillah.

Kerisauan menguasai diri.
Jadi, kita mengambil banyak masa mengadap buku-buku ideologi dan falsafah.
Waktu lain pula, kita melayari web youtube bagi mendengar celotoh pakar spiritual dan psikologi, bagi mencari kehidupan yang hakiki dan benar.

Dalam kegelisahan ini,
Tuhan Rabbul ‘Alamin menyeru kita untuk meminta satu hal yang paling penting dalam kehidupan kita.
Satu-satunya doa yang terkandung dalam Surah Pembuka (Al-Fatihah),
Ihdinaa.
 Kita pun sudah maklum akan ertinya.
Wahai Tuhan, tunjukilah kami ke jalan lurus.
Namun saya lebih gemar memberi maksud : Kurniakanlah kami PETUNJUK.

Benar.
Kita perlukan petunjuk, untuk berfikir dengan baik.
Tidak keterlaluan dalam berfikir, sehingga takut melangkah dalam kabus tebal.

Mungkin kita akan jatuh dalam lubang yang dalam,
Atau mungkin kita akan menemui pintu di sebalik kabus tersebut.
Apapun, inilah konsep tawakkal.

Baik dan buruk, sudah ditakdirkan.
Boleh jadi baik itu sebenarnya bahaya untuk kita.
Dan boleh jadi juga buruk itu sebenarnya bermanfaat untuk kehidupan.
Hanya Allah yang tahu.

Maka,
Berfikirlah secara sederhana.

Benar,
Kita diajar untuk berfikir secara analitik, kritis dan kreatif.

Namun, kita tidak perlu kepada pelampauan dalam pemikiran.
Rehatlah sekejap, kerana fikiranmu juga ada hak.

Fikir, Rehat, dan Teruskan Perjuangan.

Thursday, March 10, 2016

Henshin



Bertukar...
Berubah..

Mudah menyebut..
Sukar menurut..

Yang gelap nak jadi cerah..
Krim pencerah kesannya bukan sekelip mata..

Yang malas nak jadi rajin..
Azam tak sentiasa istiqomah...

Yang gemuk nak jadi kurus..
Workout mana cukup hanya sehari..

 Miskin nak jadi kaya..
Kita bukan Ali Baba Bujang Lapok..

Jahat nak jadi baik..
Bukan usaha separuh hati..

Nak jadi baik bukannya cukup masa seharian..
Dari kita berfikiran dah tua baru nak bertaubat..
Kenapa tak berfikiran jadi baik masa muda, baru jahat masa tua..

Bila tua mana mungkin kita berkudrat membuat jahat..
Masa tua mana mungkin juga beribadat sehebat pemuda..

Usaha jadi baik dari awal..
Pastinya kau berubah menjadi lebih baik akan datang..

Jangan pula dah tua tiada usaha berubah baik..
Selagi nyawa di dalam badan, tidak terlewat untuk kita 'kembali'..


Insya Allah..
Azam..
Allah pasti tolong..

Saturday, February 20, 2016

Orang Tua



Berkedut..
Pelupa..
Beruban..
Selekeh..
Lembik..
Jijik..
Sifat-sifat zahiriyah si Tua..

Kami Pemuda..
Gagah..
Perkasa..
Bertenaga..
Kemas..
Moden..

Apa kau fikir kau kekal muda selamanya?

Pelepah tua gugur,
Pelepah muda jangan ketawa..

Siapa sangka si tua yang bongkok itu..
Pahlawan gagah di zamannya..

Si Tua yang tempang itu..
Guru kepada ribuan Ulama'..

Si Tua yang terbaring itu..
Murabbi buat sekalian Dai'e..

Jangan sangka kerana dia si tua..
Dia hanya menunggu ajal menjelma..

Jangan sangka kerana dia si tua..
Dia hanya disuap disara..

Jangan sangka kerana dia si tua..
Tenaganya sekadar berbaring saja..

Kerna dia si tua..
Berilmu di dada..

Kerana dia si tua..
Ada basirah pembeza..

Kerana dia si tua..
'Abid kepada Rabbnya..

Si Tua itu pergi..
Kitalah penggantinya..

Kitaran yang tidak pernah berhenti...

Sediakah kita menjadi SI TUA???


Tuesday, February 16, 2016

Lima Minit

Lima Minit Perubahan (sumber)
Lima Minit.

Aku melirik laju ke angka digit jam yang terletak di penghujung bawah kanan paparan skrin laptop.

Hanya Lima Minit.

Budak yang ingin belajar sesuatu harus melaziminya walau sedikit.

Lima Minit pun cukup.

Lebih-lebih diri aku yang mahu belajar dan memperbaiki mutu penulisan.

Lima Minit yang Pendek.

Otak aku perlu dilatih untuk berkhayal ke awan umpama Rene Descartes.

Lima Minit sahaja.

Jari-jemariku mesti terus menari umpama Galileo selalu memandang langit menggunakan teleskop gergasinya.

Akhirnya Lima Minit.

Agar diri kita menjadi umpama Kepler yang berakhir menganggungkan Tuhan di akhirnya.

Sudah Lima Minit.

Intaha.

Monday, February 8, 2016

Pandangan pertama (part 1)

"Man, petang ini jom kita main futsal", ajak Hakim.

"Esok-esoklah eh, Kim. Aku sibuk sikit petang ni. Ada hal sikit." ujar Aiman.

"Oh yeke, Man. takpelah. Aku gerak dulu eh."
Hakim dengan keadaan yang hampa, dia bergerak ke padang tanpa rakan biliknya. Hampir setiap petang mereka bermain futsal sekali. Tetapi kali ini Aiman tidak turut serta.
 Sebenarnya Aiman tidak sibuk pada petang tersebut, dia hanya ingin menyendiri. Ada sesuatu yang mengganggu dirinya.

Dia disalah erti, tidak mahu menerima teguran. Orang ramai tidak mengenali dirinya.

Apa yang ditegur dia menerima. Namun, kalau tidak betul, maka apa gunanya terima perkara tersebut. Itulah prinsip yang dipegang oleh Aiman. Jiwanya tersentap. Hati yang terguris, oleh segelintir individu yang menghentam tanpa mengenali dirinya.



Aiman duduk di kerusinya rehat dalam bilik sambil termenung melihat kepelbagian ragam manusia di luar jendelanya itu pada petang itu. Dalam renungannya itu,dia teringat orang yang dekat dengan jiwanya, iaitu arwah ayahnya  berpesan," Man, bila engkau sedih, penat mengharungi kehidupan, engkau mintalah pada Allah. Minta pada Dia, mudah-mudahan Dia permudahkan urusan engkau Man. Sebab makhluk tidak pernah mungkin faham kita Man!" 



Kata-kata ayahnya itu masih segar dalam fikiran Ashman. Lalu berderailah air mata Aiman. Pipinya dibasahi dengan air matanya, tanda keinsafan dan kelemahan seorang hamba Ilahi. Dia merindui ayahnya, dia juga merindui saat menerima nasihat daripada ayahnya. Kini ayahnya jauh di alam yang lain. Yang tinggal adalah serpihan-serpihan memori, yang terhunjam didalam hati Aiman.

"Ayah, sungguh aku merindui engkau. Kata-katamu ibarat api yang tidak pernah padam. Disebabkan didikan ayahlah, aku masih teguh dalam perjuangan hidup ini.Semoga engkau berbahagia disana!" rintih Aiman.

Setelah tenang. Dia mula membuka lebaran suci Al-Quran untuk ditaddabur,dihayati dan direnungi.

Apabila dibukanya, terpapar ayat yang menyentap jiwanya.

“Wala tahinu wala tahzanu wa antumul a’lawn in kuntum mu’minin. 
Janganlah kamu merasa rendah dan bersedih karena kamu adalah orang yang paling tinggi derajatnya jika kamu beriman.” 
(Ali Imran : 139)

Dirinya ibarat disuntik motivasi. Seakan-akan, membakar semangatnya untuk terus thabat didalam dakwah dan tarbiah. 


---------------------------------

"Perhatian kepada semua pelajar, anda di minta untuk berkumpul di Auditorium Helang untuk program Anda Ejen Pengubah pada pukul 930 malam. Sekian terima kasih."

Pada malam tersebut, Aiman adalah pengarah untuk program tersebut. Tindak-tanduknya diperhati oleh orang-orang yang tidak suka olehnya. Namun , beliau hanya berbuat biasa sahaja. Dia teringat kata-kata As-Syahid Imam Hasan Al-Banna  

"Jadilah seperti pokok saat orang membaling batu kepadamu, kau membalasnya dengan buah yang ranum. "


Muka-muka yang membencinya, disambut oleh Aiman dengan baik. Dia melebarkan senyuman yang manis. 

Setelah pelajar-pelajar datang, barulah bermula program tersebut. Kelihatan pelajar-pelajar sangat reaktif, kerana mereka datang hanya kerana ingin sijil. Bukan kerana ingin menimba ilmu. Ada pula yang datang, hanya terpaksa kerana program yang diwajibkan oleh guru.

Namun, ada juga yang bersungguh-sungguh. Datang membawa buku nota dan pensil, untuk mencatat apa yang bakal di kongsikan oleh panelis.

Kata orang lama " Sekabur-kabur ingatan, sekuat-kuat tulisan"

Mungkin itulah prinsip yang dipegang oleh setengah pelajar.

Syeikh Abu Hasan , datang dengan berkerusi roda ditolak oleh anaknya Ali Morsi. Wajahnya bersih, senyumannya disambut baik oleh orang ramai. Dia adalah seorang yang syeikh yang mengajar di Dimasyq, Syria. Mukanya tidak lekang dengan senyuman, biarpun dalam keadaan memberi ceramah.


Dia memulakan ceramahnya , dengan membaca ayat suci Al Quran, surah ali-Imran ayat ke-104

"Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya."


Suaranya merdu persis Saad al Ghomidi. Beliau berjaya memukau satu auditorium. 

Setelah selesai ceramahnya. Syeikh Abu Hasan, beliau mendoakan agar para pemuda pemudi, bangkit dan ke hadapan untuk menegakkan Islam secara adil.

Ashman, adalah orang yang terakhir untuk keluar dari dewan tersebut. Beliau menyusun, membuang sampah yang terdapat di sekitar dewan tersebut. 

Setelah itu, terdapat kumpulan-kumpulan yang tidak menyukainya, melihat Aiman. Mereka bersembang tentang Aiman, sesama mereka.

"eleh tengok dia tu, bajet baik." kata Zack

"poyo, gila munafiq" kata Jack

"Weh korang ni kenapa? Kenapa perlekehkan benda baik yang dia lakukan? Tak boleh ke korang ni jangan nafikan perkara baik yang dia bawa!" berontak Afiq, kebetulan beliau juga berada disitu.

Bagi Afiq, biarpun sesiapa pun yang kita hadapi, jangan pernah perlekeh kebaikan seseorang itu lakukan. Kemungkinan perkara baik itulah yang membawa dia ke syurga.

"Pernah dengar tak, pepatah don't judge a book by a cover? kita tak kenal personaliti dia secara detail.
Korang mungkin pernah dengar kata-kata dia  yang tajam, tapi korang pernah lihat tak kelembutan yang dia tonjolkan? Cuba adil dalam menilai seseorang. Jangan tahu asyik nak menghukum je." tambah Afiq lagi.


Zack dan Jack, terpaku mendengar kata-kata Afiq. Tidak mampu membalas apa-apa. Mereka akur dengan kebenaran yang disampaikan oleh Afiq. Mereka terpaksa mendengar sesi leteran Afiq kerana mereka menumpang keretanya.

-------------------

"kring, kring", berdering aplikasi alarm clock, yang di pasang di dalam S4 Aiman.

Dia segera menutup, aplikasinya itu dengan menekan butang Stop . Lekaslah dia ke bilik air, membasahi anggota badannya dengan berwudhuk. Menyucikan badannya secara zahir dan juga secara batin.


Bersambung....

by ibn skywalker

Saturday, February 6, 2016

Tujuh Aura Pelangi untukmu

Bukankah pelangi itu ada tujuh warna utama? (sumber)
Bismillah.

Selepas meneliti bait-bait tulisan Umi Khaltum, pengarang buku "Mudahnya Menulis", saya merasa satu aura mula muncul dari hati. Aura itu mengalir penuh ketenangan dan menjenguk sebentar di deria penglihatan. Terus aura itu membantu mata melihat alam dengan penuh sinar cahaya. Deria pendengaran menjadi mekar dan tajam. Hinggakan ia mampu menangkap bunyian hembusan yang bermain-main di hidung.

Sungguh indah sekali.

Kata Umi Khaltum, seorang penulis haruslah bermula dengan pengembaraan jiwa. Bagaimana harus kita mahu sang pembaca mengembara dalam dunia 'ciptaan' kita, jikalau kita sendiri tidak mampu untuk mengembara kedalamnya.

Teringat saya pada tulisan "The Power of Now" oleh Eckhart Tolle. Sebagai seorang pengamal spiritual, dia selalu mengingatkan kami para pembaca agar jangan tertipu dengan muslihat masa. Kerana masa lalu dan masa hadapan sering menjadikan kita alpa dengan masa kini. Putus harapan kerana terlalu memikirkan masa lalu serta ketakutan menghadapi masa hadapan, justeru menyebabkan kita terlupa menghayati keindahan warna-warni di muka kita.

Bukankah sentuhan jari jemari kita di papan kekunci begitu indah sekali? Juga pandangan mata menyaksikan huruf-huruf ini bercantum menjadi perkataan untuk dibaca sungguh mengujakan kita. Bunyi cengkerik di luar tingkat menjadi penghibur dikala kita sunyi. Bahkan kemerduan putaran kipas dimadukan dengan bunyian latar lagu yang sedang bermain di laptop.

Semua ini kita tidak dapat rasakan jika fikiran kita asyik tertumpu pada masa lalu yang sudah jauh meninggalkan kita. Atau jika jiwa kita begitu gelisah menunggu esok yang belum kunjung.

Begitulah yang saya rasakan.

Suatu ketika dahulu, saya begitu bermalas-malasan untuk menulis. Mengenang banyaknya tulisan sebelum ini yang gagal menyentuh jiwa pembaca. Hingga tiada rasa lagi keperluan untuk menajamkan minda bagi terus berkarya dalam dunia penulisan. Merasa diri tiada bakat.

Sehingga awal januari lepas, perkongsian saya dengan seorang sahabat di satu kolej kembali menyentuh hati saya. Ketika dunia ini penuh dengan penulisan-penulisan picisan dan murahan, serta membahayakan dan menggugat akidah, saya tercabar dengan kata-kata seorang penulis buku fiksi, Benz Ali. Dia agar tidak berpuas hati dengan golongan 'usrah' yang tidak mampu menulis dan mencetak bahan penulisan.

Sudah lama saya pendam perasan itu. Sungguh katanya benar. Banyaknya diskusi kami tentang ilmu-ilmu agama dan dunia, tak banyak dari kami yang mampu mengukir ilmu pada artikel untuk tatapan awam. Sedangkan kami selalu berbicara tentang menyebarkan Rahmat agama pada manusia.

Bermula dari diskusi santai bersama kawan itu, saya mula bertekad untuk berhenti sekejap bermain facebook. Menjenguk kembali ke dunia blog.

Sementara hati ini masih berdalih akan kelemahan diri dalam menyusun ayat dan kata, semangat untuk melawan tulisan-tulisan picisan begitu tinggi. Walau terkadang hati begitu gusar kalau-kalau tulisan ini juga menjadi picisan, namun semangat melawan ini telah terledak mengalahkan kegelisahan hati itu.

Maka, bermulalah saya mengumpul sahabat-sahabat yang ingin bersama. Mereka yang masih mentah dan mahu berjuang dalam dunia penulisan secara kolektif. Walau kami sedar bahwa diri ini tiadalah nilai di sisi masyarakat, namun kami berharap perkumpulan kecil ini bakal melahirkan para Islamis yang lebih berfikiran kritis yang mampu mengolah ilmu dalam penulisan untuk ditampilkan ke masyarakat.

Kerana kami tahu, jika kami tidak mulakan perkumpulan kecil ini, kami telah hilang ganjaran yang besar disisi Tuhan kami. Dan inilah matlamat akhir kami, yakni agar segala usaha kecil ini menjadi satu aset penting buat kami apabila kami bertemu dengan Tuhan kami. Insya-Allah.

Maka dengan itu,

Aura yang telah terlahir dari hati nurani ini telah mula menjalar ke seluruh nadi kami. Aura ini mungkin masih kecil dan tak terlihat. Namun, suatu masa nanti ia akan membesar seumpama LangitIlahi atau AngelPakaiGucci, dan sekaligus menerangi kegelapan di sekeliling kami. Waktu itu manusia yang berhati munafik akan ketakutan akan setiap bait-bait tulisan kami, dan musuh-musuh Allah akan datang menghunus pedang kebencian kepada kami.

Pada waktu itu, jika kami menang melawan mereka, maka kami telah mencapai hidup yang mulia. Adapun jika kami tewas, maka kami telah mati dalam syahid di jalan Allah.

Dan sehingga waktu itu, kami akan menitiskan air mata kami, bagi menjayakan perkumpulan kami ini. Jari jemari kami akan terus menari di papan kekunci, sehingga karya-karya mula diperlihat kepada orang ramai. Bukan kerana kesombongan dan keegoan, tapi agar mahakarya kami nanti mampu dipegang oleh tangan-tangan manusia di luar sana, dan mesej-mesej Ilahi akan meresap ke dalam jiwa mereka.

Hingga waktu itu tiba, kami tak akan berpuas hati!

Inilah kami, tujuh Pena Amateur yang mula bertatih dalam dunia penulisan. Doakan kejayaan kami.

Wallahu a'lam.

"Saya adalah pemuji Allah"